Kuala Lumpur: Dunia bola sepak rantau Asia Tenggara bakal melakar sejarah baharu apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan penganjuran kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA (FIFA ASEAN Cup) yang menghimpunkan semua 11 negara anggota ASEAN di bawah satu pentas pertandingan berprestij.
Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata kejohanan berkenaan diwujudkan untuk memberi nafas segar kepada bola sepak Asia Tenggara selain menjadi simbol perpaduan serantau melalui sukan paling popular di dunia.
“Piala FIFA ASEAN ini diwujudkan khas untuk rantau ini, membabitkan semua 11 negara anggota. Ia bakal memberi impak besar bukan hanya di Asia Tenggara, malah turut menarik perhatian dunia,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu antara FIFA dan ASEAN, yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN.
Gianni menegaskan MoU tersebut mempunyai makna istimewa kerana mencerminkan kekuatan dan kesatuan antara negara anggota ASEAN. Menurutnya, angka 11 sendiri membawa makna simbolik dalam dunia bola sepak kerana satu pasukan terdiri daripada 11 pemain, dan kini pasukan ASEAN lengkap untuk melangkah bersama ke arah kemenangan.
Katanya, rantau ASEAN merupakan antara kawasan paling dinamik dalam dunia bola sepak dengan lebih 700 juta peminat aktif, menjadikannya pasaran besar yang mempunyai potensi tinggi untuk pembangunan sukan itu pada masa depan.
“FIFA mahu melaksanakan lebih banyak inisiatif bersama ASEAN yang membawa manfaat kepada komuniti bola sepak serantau, termasuk memperkukuh aspek pembangunan akar umbi dan penglibatan masyarakat,” ujarnya.
Gianni turut menambah, kerjasama yang dijalinkan berpaksikan tiga prinsip utama — integriti dalam permainan, keselamatan dalam persekitaran bola sepak, serta pendidikan melalui sukan.
“Kami mahu memastikan bola sepak terus berkembang dalam suasana yang selamat serta menjadi medium pendidikan yang membentuk generasi muda lelaki dan wanita di seluruh rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Gianni turut menjawab persoalan berhubung dakwaan sikap dwi standard FIFA mengenai penyertaan Israel dalam Piala Dunia sedangkan Rusia digantung penyertaannya. Beliau menegaskan bola sepak perlu kekal sebagai wadah penyatuan sejagat dan tidak seharusnya dipengaruhi isu politik atau geopolitik.
“Saya amat berbesar hati menjadi saksi kepada sidang kemuncak keamanan di Sharm el-Sheikh baru-baru ini yang turut dihadiri Presiden Trump dan beberapa negara lain bagi menandatangani perjanjian damai penting. Kita semua menyokong keamanan dan perpaduan, termasuk perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan hari ini,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menegaskan bahawa ASEAN komited sepenuhnya untuk terus menyokong pembangunan bola sepak sebagai sukan rakyat dan wadah membina generasi muda serantau.
Menurut beliau, bola sepak bukan sekadar sukan paling popular di dunia tetapi memainkan peranan penting dalam melahirkan kepimpinan muda serta memperkukuh semangat perpaduan dan identiti ASEAN.
“Pemimpin ASEAN berikrar untuk terus menyokong bola sepak sebagai sukan rakyat dan tumpuan anak muda. Ia menjadi keutamaan dalam membina generasi pemimpin baharu dengan menyediakan peluang latihan dan pendedahan sewajarnya,” katanya.