Bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Razif Sidek, melahirkan rasa bimbang terhadap kesan jadual padat yang kini dihadapi dua pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjelang penghujung musim kompetitif 2025.
Menurut Razif, tekanan fizikal dan mental akibat kepadatan jadual pertandingan boleh menjejaskan tahap kecergasan serta kestabilan prestasi kedua-dua pasangan di peringkat antarabangsa.
Beliau menjelaskan bahawa Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking ketiga dunia telah menyertai sebanyak 18 kejohanan sepanjang musim ini, termasuk saingan Terbuka Perancis minggu ini. Sementara itu, gandingan Sze Fei-Izzuddin sudah beraksi dalam 15 kejohanan, sesuatu yang dianggapnya cukup berat buat pemain yang perlu sentiasa mengekalkan prestasi tinggi di gelanggang.
“Apabila pemain terlalu kerap bertanding, sukar untuk mengekalkan prestasi terbaik di setiap kejohanan. Kadang-kadang mereka terpaksa juga turun bermain walaupun tidak cukup rehat, hanya untuk mengelak kehilangan mata ranking,” katanya ketika ditemui.
Musim 2025 menyaksikan Aaron dan Wooi Yik tampil cemerlang dengan tiga gelaran utama – Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand serta Terbuka Singapura. Mereka juga muncul naib juara di beberapa kejohanan berprestij lain termasuk Masters Malaysia dan Terbuka China, sekaligus mengukuhkan status mereka antara gandingan elit dunia.
Namun Razif menegaskan, prestasi menawan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk terus beraksi tanpa henti. Beliau berpendapat jadual padat perlu diurus dengan bijak supaya kedua-dua pemain tidak terdedah kepada keletihan melampau menjelang kejohanan besar di penghujung tahun.
“Kalau tak menang pun tak mengapa, yang penting mereka kekal stabil dan tidak alami burnout. Tekanan dan kepenatan boleh buat mereka hilang fokus,” ujarnya.
Selain itu, Razif turut menilai prestasi tidak menentu gandingan Sze Fei-Izzuddin yang masih berusaha mencari semula rentak terbaik sejak kejayaan mereka di Terbuka India pada Januari lalu. Selepas itu, mereka hanya sekali mara ke pentas final iaitu di Terbuka Jepun pada Julai, namun tewas kepada pasangan juara dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
“Mereka mungkin perlukan lebih masa untuk latihan intensif dan sesi sparring. Sekarang terlalu banyak masa dihabiskan untuk kejohanan, jadi agak sukar bagi mereka memperbaiki kelemahan,” jelas bekas juara All England itu.
Menjelang Sukan SEA di Thailand pada Disember nanti, Razif berharap Aaron-Wooi Yik dapat merancang keseimbangan antara latihan dan rehat agar tidak berdepan risiko kecederaan atau keletihan berpanjangan.
“Kalau mereka dapat kekalkan kecergasan dan elak kecederaan, saya yakin dua beregu ini masih mampu beraksi cemerlang di Sukan SEA nanti,” tambahnya.