Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Penang FC 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Bandaraya, sebentar tadi. Keputusan itu membolehkan skuad Harimau Selatan membawa bekalan selesa menjelang perlawanan timbal balik di Johor Bahru nanti.
Pertemuan malam ini menjadi medan penting buat JDT untuk mencari momentum menjelang perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang wakil China, Chengdu Rongcheng. Sementara itu, Penang FC pula turun dengan misi mahu mencipta kejutan di hadapan penyokong sendiri meskipun berdepan pasukan yang berstatus juara bertahan.
JDT memulakan aksi dengan cukup meyakinkan apabila memperoleh gol pendahuluan seawal minit keenam permainan menerusi sepakan penyerang import, Oscar Arribas. Gol pantas itu memberi tekanan besar kepada skuad Harimau Kumbang yang cuba bangkit mengatur serangan balas.
Namun, usaha gigih pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan kebangsaan, Adib Ra’op berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-35, sekaligus menyuntik semangat baharu buat Penang FC dan penyokong mereka di Stadium Bandaraya.
Kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pengadil merujuk kepada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR). Rakaman menunjukkan kekasaran dilakukan oleh Ahmad Irfan Mohd Noor ke atas pemain JDT, Romel Morales. Keputusan itu sekali gus merubah corak permainan pasukan tuan rumah yang terpaksa lebih bertahan selepas kekurangan seorang pemain di padang.
Dalam separuh masa kedua, pengendali JDT membuat beberapa pertukaran penting dengan membawa masuk Manuel Hidalgo dan Nacho Mendez bagi meningkatkan intensiti serangan. Langkah taktikal itu nyata berbaloi apabila tekanan demi tekanan mula menjerat kubu pertahanan Penang.
Akhirnya, Ager Aketxe menjadi wira JDT apabila meledak sepakan percuma cantik pada minit ke-55 yang gagal diselamatkan penjaga gol Penang, Khairulazhan Khalid. Sepakan deras itu menerjah jaring dan mengembalikan kelebihan buat skuad Harimau Selatan untuk mendahului 2-1.
Walaupun Penang FC cuba bangkit dalam baki masa perlawanan, keadaan padang yang semakin lecak akibat hujan menyebabkan rentak permainan kedua-dua pasukan sedikit terganggu. JDT mengekalkan disiplin permainan mereka hingga wisel penamat dibunyikan, memastikan kemenangan penting 2-1 di laman lawan.
Dengan kemenangan itu, JDT kini berada dalam kedudukan lebih baik untuk mara ke separuh akhir apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim pada perlawanan timbal balik nanti. Bagi Penang, kekalahan tipis ini tetap memberi peluang untuk mereka memperbaiki persembahan dalam pertemuan seterusnya.