sukan

Pasukan Malaysia tidak terbabit langsung – Rob Friend

Spekulasi mengenai siapa sebenarnya yang terbabit dalam proses melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kini terus menjadi perbualan hangat selepas pihak pengurusan skuad kebangsaan tampil menjelaskan kedudukan sebenar. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan, Rob Friend, menegaskan bahawa pihaknya sama sekali tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu dokumentasi pemain yang kini disiasat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut Rob, peranan pasukan kebangsaan hanya tertumpu kepada aspek teknikal dan prestasi pemain, manakala segala urusan berkaitan dokumen dan pendaftaran pemain berada sepenuhnya di bawah tanggungjawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Penjelasan itu dibuat dalam sidang media khas yang diadakan di Wisma FAM, bagi menjawab persoalan berhubung siasatan FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Malaysia.

“Penting untuk saya jelaskan bahawa pasukan kebangsaan tidak terlibat langsung dalam urusan dokumen. Kami hanya fokus kepada strategi, prestasi dan taktikal pasukan,” katanya. Rob menambah bahawa pihaknya hanya menerima maklumat daripada FAM berkaitan potensi pemain yang sedang melalui proses naturalisasi, namun tidak terlibat dalam urusan pentadbiran atau kelulusan rasmi mana-mana pemain.

Beliau turut menegaskan bahawa pengendali pasukan, Peter Cklamovski, bersama barisan kejurulatihan hanya menilai aspek teknikal pemain yang berpotensi untuk menyertai skuad negara. “Kami tidak menguruskan sebarang dokumen atau pendaftaran. Semua hal berkaitan status dan kelulusan pemain diuruskan FAM serta agensi kerajaan berkaitan,” ujarnya lagi.

Rob menjelaskan bahawa pasukan kebangsaan hanya akan mengaktifkan pemain selepas mendapat kelulusan rasmi daripada FIFA. Proses tersebut, katanya, hanya berlaku apabila dokumen pengesahan diterima melalui FAM. “Apabila FIFA meluluskan status seseorang pemain, kami akan menerima dokumen rasmi daripada FAM. Hanya selepas itu pemain terbabit disahkan menyertai skuad kebangsaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rob turut mengesahkan bahawa pada 22 Ogos lalu, pihaknya menerima makluman rasmi daripada FIFA mengenai siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain yang terlibat. Sebagai CEO, beliau berkata tindakan segera diambil bagi memastikan integriti pasukan kebangsaan terus terpelihara. “Saya terus mengambil langkah melindungi pemain serta menjaga imej pasukan. Mereka telah berjuang untuk Malaysia, dan menjadi tanggungjawab kami memastikan mereka tidak menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Rob turut menambah bahawa pihaknya kini sedang bekerjasama sepenuhnya dengan FAM serta peguam antarabangsa bagi memastikan siasatan berjalan dengan adil dan telus. Beliau juga menegaskan kepentingan untuk memastikan kes seperti ini tidak berulang pada masa hadapan. “Kita mahu perkara ini dijelaskan dengan sewajarnya dan prosedur diperketat supaya tidak timbul lagi kekeliruan,” katanya.

Sebelum ini, FIFA mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain kacukan selepas mendapati wujud kekeliruan dalam dokumen pendaftaran rasmi pemain berkenaan. Antara pemain yang dinamakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel.

Berdasarkan laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati terdapat pelanggaran terhadap Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang melibatkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi. Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Penjelasan Rob sekali lagi menegaskan bahawa pasukan kebangsaan tidak terlibat dalam aspek pentadbiran tersebut, malah hanya berperanan dalam memastikan prestasi dan komitmen pemain di peringkat antarabangsa terus dijaga. Beliau berharap siasatan yang sedang berjalan dapat memulihkan kepercayaan terhadap struktur pengurusan bola sepak negara.