Harapan pemain muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kebanggaan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi, untuk menjulang trofi Pemain Terbaik Asia tidak kesampaian apabila anugerah berprestij itu menjadi milik bintang Arab Saudi, Salem Al-Dawsari. Meskipun gagal membawa pulang gelaran individu tersebut, Malaysia tetap mencatat kejayaan membanggakan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disenaraikan antara tiga terbaik dalam kategori pembangunan akar umbi di Anugerah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-29 yang berlangsung megah di Riyadh, malam tadi.
Acara penuh berprestij itu diadakan di Pusat Kebudayaan King Fahad, menyaksikan bintang-bintang utama bola sepak Asia diraikan atas pencapaian luar biasa mereka sepanjang musim 2024-2025. Al-Dawsari mengatasi dua calon lain iaitu pemain kebangsaan Qatar, Akram Afif, serta wakil tunggal Malaysia, Arif Aiman, untuk meraih penghormatan tertinggi dalam kariernya.
Bagi kategori wanita, bintang Jepun, Hana Takahashi, muncul pemenang selepas memimpin Urawa Red Diamonds Ladies menjuarai kejohanan domestik dan menduduki tempat ketiga dalam saingan liga utama Jepun. Pemain berusia 25 tahun itu turut memainkan peranan penting membawa pasukannya ke suku akhir Liga Juara-Juara Wanita AFC, sambil mencatat 12 jaringan sepanjang musim — pencapaian luar biasa bagi seorang pemain pertahanan yang turut berperanan di barisan serangan.
Kejayaan Al-Dawsari pula tidak datang secara kebetulan. Sepanjang musim 2024-25, beliau menunjukkan ketajaman luar biasa bersama kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal. Penyerang berusia 34 tahun itu muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Elit AFC, menjadi antara tonggak utama yang membantu kelabnya mara ke separuh akhir kejohanan berprestij itu. Di pentas global pula, beliau terus bersinar apabila memainkan peranan penting dalam kemaraan Al Hilal ke suku akhir Piala Dunia Kelab FIFA.
Di arena domestik, Al-Dawsari terus mengekalkan konsistensi yang menakjubkan apabila dinobatkan sebagai pencipta gol terbanyak liga sepanjang zaman selain merekodkan 15 jaringan musim ini. Kemenangan ini merupakan yang kedua buatnya selepas kejayaan pertama pada tahun 2022, menjadikannya pemain Arab Saudi pertama menjuarai dua kali anugerah Pemain Terbaik Asia serta hanya pemain keempat dalam sejarah selepas legenda Hidetoshi Nakata (Jepun), Akram Afif (Qatar) dan Server Djeparov (Uzbekistan) mencapai pencapaian tersebut.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya. Ini bukan penghujung perjalanan, tetapi permulaan kepada cita-cita yang lebih besar. Saya akan terus berjuang untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” ujar Al-Dawsari dalam ucapannya selepas menerima anugerah.
Walaupun Arif Aiman tidak membawa pulang trofi, pencalonannya dalam tiga teratas membuktikan kehadiran Malaysia semakin diiktiraf di arena bola sepak Asia. Pemilihan beliau bersama nama-nama besar seperti Al-Dawsari dan Afif jelas menandakan pemain muda negara kini mampu bersaing di peringkat tertinggi. Pengiktirafan FAM dalam kategori pembangunan akar umbi pula membuktikan usaha sistematik badan induk bola sepak negara membuahkan hasil dan mendapat perhatian AFC.
Secara keseluruhannya, malam anugerah itu menjadi simbol kemajuan dan daya saing bola sepak Asia yang semakin meningkat, sambil menandakan bahawa Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk kembali membina reputasi di pentas antarabangsa.
Senarai penuh pemenang Anugerah AFC 2025:
Pemain Terbaik Asia:
Salem Al-Dawsari (Al Hilal/Arab Saudi)
Pemain Wanita Terbaik Asia:
Hana Takahashi (Urawa Red Diamonds Ladies/Jepun)
Jurulatih Terbaik (Lelaki):
Ri Song Ho (Korea Utara B-20 Wanita)
Jurulatih Terbaik (Wanita):
Marziyeh Jafari (Bam Khatoon Women’s FC/Iran)
Pemain Antarabangsa Asia (Lelaki):
Lee Kang-in (Paris Saint-Germain/Korea Selatan)
Pemain Antarabangsa Asia (Wanita):
Maika Hamano (Chelsea/Jepun)
Pemain Muda Terbaik (Lelaki):
Alex Badolato (Melbourne Victory/Australia)
Pemain Muda Terbaik (Wanita):
Choe Il Son (4.25 SC/Korea Utara)
Pemain Futsal Terbaik Asia:
Salar Aghapour (Gohar Zamin/Iran)
Diamond of Asia:
Timothy Fok Tsun Ting
Anugerah Pengiktirafan Presiden AFC:
Persatuan Bolasepak Korea Utara
Persatuan Bola Sepak Terbaik:
Platinum: Persekutuan Bolasepak Arab Saudi
Diamond: Persatuan Bolasepak Thailand
Emas: Persatuan Bolasepak Hong Kong
Ruby: Persekutuan Bolasepak Laos
Persekutuan Serantau Terbaik:
Persekutuan Bolasepak ASEAN
Anugerah Pembangunan Akar Umbi:
Emas: Persatuan Bolasepak Emiriah Arab Bersatu
Perak: Persatuan Bolasepak MALAYSIA
Gangsa: Persekutuan Bolasepak Bangladesh