Cape Verde melakar sejarah baharu dalam dunia bola sepak apabila berjaya menempah tiket ke Piala Dunia 2026 buat kali pertama dalam sejarah negara itu selepas menewaskan Eswatini 3-0, awal pagi tadi. Kemenangan bersejarah ini bukan sekadar kejayaan sukan semata-mata, tetapi juga simbol kebanggaan nasional kepada negara kepulauan kecil di luar pantai Senegal itu.
Dengan populasi sekitar 550,000 orang, Cape Verde kini menjadi negara kedua dengan penduduk paling kecil yang berjaya layak ke Piala Dunia. Sebelum ini, hanya Iceland yang memiliki lebih kurang 350,000 penduduk pernah melakar kejayaan sama ketika mara ke Piala Dunia Russia 2018. Kejayaan Cape Verde sekali gus menonjolkan bahawa saiz dan jumlah penduduk bukanlah penghalang untuk bersaing di pentas tertinggi dunia bola sepak.
Skuad digelar “Blue Sharks” itu mengungguli Kumpulan D dengan mengumpul 23 mata, empat mata di hadapan Cameroon yang berada di tempat kedua. Cameroon, yang terkenal sebagai pasukan Afrika dengan penyertaan terbanyak di Piala Dunia sebanyak lapan kali, terikat tanpa jaringan 0-0 menentang Angola di Yaounde, sekali gus membuka ruang kepada Cape Verde untuk menamatkan kempen kelayakan di tangga teratas.
Jurulatih Cape Verde, Pedro Brito, meluahkan rasa bangga dan emosi ketika ditemu ramah selepas perlawanan. “Memberikan kegembiraan ini kepada rakyat kami amat besar ertinya. Ini adalah kemenangan untuk seluruh rakyat Cape Verde, dan lebih bermakna lagi kerana ia hadir ketika kami menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan,” katanya.
Penjaga gol veteran berusia 39 tahun, Vozinha, yang tidak dapat menahan sebak, turut berkongsi detik emosinya. “Saya sering mengimpikan saat ini sejak kecil. Kini masanya untuk meraikan. Kami tahu kami boleh bermain lebih baik pada separuh masa kedua, dan itulah yang kami lakukan,” katanya penuh semangat.
Dalam perlawanan yang berlangsung di hadapan kira-kira 15,000 penyokong setia di Praia, Cape Verde menguasai separuh masa pertama namun gagal mencipta banyak peluang berbahaya. Namun, babak kedua menjadi pentas kebangkitan mereka apabila Dailon Livramento dan Willy Semedo masing-masing menjaringkan dua gol awal dalam tempoh sembilan minit pertama selepas rehat.
Livramento, yang dilahirkan di Rotterdam, membuka tirai jaringan pada minit ke-48 menerusi sepakan jarak dekat, sebelum Semedo — pemain kelahiran kawasan berhampiran Paris — menambah gol kedua enam minit kemudian. Kedua-dua jaringan itu disambut sorakan gemuruh penyokong yang membanjiri stadium dengan bendera kebangsaan.
Pada masa kecederaan, pemain gantian Joao Paulo, atau lebih dikenali sebagai Stopira, menambah satu lagi jaringan selepas bola muntah hasil percubaan rakan sepasukan. Gol ketiga itu mengesahkan kemenangan mutlak 3-0, sekaligus menghadiahkan detik manis buat seluruh rakyat Cape Verde.
Kejayaan ini dianggap lebih manis kerana sebahagian besar pemain skuad kebangsaan Cape Verde merupakan pemain yang lahir di luar negara, namun memiliki darah keturunan dari kepulauan tersebut melalui ibu bapa atau datuk nenek mereka. Ia membuktikan semangat identiti nasional tidak terhad kepada sempadan geografi.
Sementara itu, pasukan pelawat Eswatini tampil dengan corak permainan bertahan menggunakan formasi 5-4-1 dan gagal memberi ancaman ketara sepanjang 90 minit permainan.
Bagi rakyat Cape Verde, malam bersejarah ini bukan sekadar kemenangan bola sepak, tetapi lambang perpaduan, perjuangan dan harapan baharu. Ketika mereka meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan, layaknya kejayaan ini dikenang sebagai mercu tanda bahawa impian kecil boleh menjadi kenyataan apabila diiringi usaha dan tekad yang besar.