sukan

Malaysia ‘setanding’ skuad layak ke Piala Dunia

Skuad Harimau Malaya pernah mencatat keputusan membanggakan apabila berjaya mengikat pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde, dengan keputusan 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 29 Mei lalu. Aksi tersebut menyaksikan anak buah jurulatih kebangsaan menampilkan semangat juang tinggi, meskipun lawan berada jauh di hadapan dari segi ranking dunia.

Dalam perlawanan itu, Cape Verde terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Sidny Lopes Cabral seawal babak pertama. Namun, penyerang gantian Paulo Josue muncul wira apabila meledak gol penyamaan kira-kira 10 minit sebelum tamat permainan, sekaligus memastikan keputusan seri berharga buat skuad kebangsaan. Keputusan tersebut dianggap signifikan kerana Harimau Malaya berjaya menyaingi pasukan dalam kelompok 80 terbaik dunia, sekali gus memberi gambaran positif terhadap perkembangan skuad negara.

Menariknya, hanya lima bulan selepas perlawanan tersebut, Cape Verde terus mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menempah tiket ke Piala Dunia 2026. Pasukan yang kini menduduki ranking ke-70 dunia itu menewaskan Eswatini 3-0 untuk mengesahkan tempat mereka ke kejohanan paling berprestij di dunia bola sepak itu. Kemenangan tersebut hadir selepas mereka mengetahui bahawa tiga mata penuh akan memastikan kemaraan automatik ke Piala Dunia.

Dalam aksi bersejarah itu, Dailon Livramento dan Willy Semedo masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan kedua sebelum pemain pertahanan Stopira menutup malam gemilang Cape Verde dengan gol ketiga pada masa kecederaan. Kejayaan itu mencetuskan suasana penuh emosi di stadium kebangsaan mereka, disambut dengan penuh kebanggaan oleh rakyat negara kepulauan kecil tersebut.

Menurut laporan Bank Dunia, Cape Verde yang memiliki populasi sekitar 524,877 penduduk hanyalah bersaiz seperti bandar Sheffield di United Kingdom. Hakikat ini menjadikan pencapaian mereka lebih mengagumkan kerana mereka kini menjadi negara kedua terkecil pernah layak ke Piala Dunia selepas Iceland. Pada edisi 2018, Iceland muncul di pentas dunia dengan populasi sekitar 335,000 orang, mencipta inspirasi buat negara kecil lain.

Dua dekad lalu, Cape Verde hampir tidak aktif di peringkat antarabangsa. Sejak menyertai FIFA pada 1986, mereka hanya bermain purata dua perlawanan setahun. Namun, pada tahun 1990, negara itu mula menyertai kempen kelayakan Piala Dunia buat kali pertama, ketika berada di kedudukan 182 dunia. Dari situ, pembangunan bola sepak mereka berkembang pesat dengan bantuan pendekatan strategik memanfaatkan pemain diaspora di seluruh dunia.

Kejayaan Cape Verde tidak datang sekelip mata. Pihak persekutuan bola sepak negara itu secara aktif mengesan serta memanggil pemain keturunan mereka yang beraksi di luar negara. Pendekatan itu mula membuahkan hasil sekitar 2013 apabila mereka mara ke pusingan akhir Piala Negara Afrika buat kali pertama dalam sejarah. Sejak itu, negara tersebut terus berkembang sebagai pasukan berdisiplin dan kompetitif di benua Afrika.

Faktor geografi dan ekonomi turut memainkan peranan besar. Sebagai negara kepulauan dengan sumber terhad serta landskap mencabar, ramai rakyatnya berhijrah ke Portugal, Amerika Syarikat dan Belanda sejak zaman penjajahan. Kini, skuad kebangsaan mereka menampilkan enam pemain kelahiran Belanda serta beberapa pemain yang lahir di Portugal, Perancis dan Ireland.

Pasukan bimbingan Pedro Leitao Brito menamatkan saingan kelayakan di tangga teratas kumpulan mereka dengan tujuh kemenangan, dua seri dan hanya satu kekalahan. Kejayaan ini meletakkan nama Cape Verde sebaris dengan negara-negara besar dunia, sekaligus menjadi inspirasi buat banyak negara kecil termasuk Malaysia.