sukan

Komen tanpa berselindung Pengendali Laos selepas dibelash Malaysia

Pengendali pasukan kebangsaan Laos, Ha Hyeok-jun, mengakui bahawa kekalahan besar 1-5 di tangan Malaysia dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 berpunca daripada jurang kualiti yang ketara antara kedua-dua pasukan. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam tadi menyaksikan skuad bimbingannya gagal mengekalkan kelebihan satu gol yang diraih pada babak pertama.

Laos bermula dengan langkah positif apabila berjaya mendahului seawal separuh masa pertama. Namun, dominasi pasukan tuan rumah yang dikenali sebagai Harimau Malaya di babak kedua memusnahkan harapan anak buah Ha Hyeok-jun untuk membawa pulang sebarang mata. Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mengakui bahawa strategi pasukannya untuk mempertahankan kelebihan tipis itu tidak menjadi seperti yang dirancang.

“Tahniah kepada pasukan Malaysia. Dalam perlawanan ini kami cuba gunakan dua pendekatan berbeza untuk setiap separuh masa. Pada separuh pertama, kami berjaya melaksanakan taktikal dengan baik dan memperoleh gol pendahuluan. Tetapi selepas rehat, jelas sekali fizikal dan mental pemain kami tidak berada di tahap terbaik. Itulah sebab kami gagal mengekalkan kelebihan tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun kecewa dengan keputusan perlawanan, beberapa perkara positif dapat dilihat daripada corak permainan anak didiknya. Katanya, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki terutama dari segi ketahanan fizikal dan tumpuan sepanjang 90 minit.

“Beberapa aspek perlu diperbaiki segera menjelang baki dua aksi kumpulan menentang Nepal dan Vietnam. Kami percaya prestasi keseluruhan pasukan semakin baik dari semasa ke semasa, namun tahap yang kami inginkan masih belum dicapai,” ujarnya lagi.

Ha Hyeok-jun turut menyentuh tentang saingan liga domestik di Laos yang menurutnya belum mencapai standard kompetitif seperti negara jiran. Hal itu katanya turut memberi kesan terhadap tahap kesiapsiagaan pemain apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Saingan liga kami tidak begitu kompetitif, dan itu antara sebab pemain kekurangan pengalaman berdepan pasukan yang memiliki intensiti tinggi seperti Malaysia. Selepas ini mereka akan kembali ke kelab masing-masing, dan kami perlu terus mempertingkatkan prestasi secara berperingkat,” tambahnya.

Dalam perlawanan penuh dramatik di SNBJ itu, skuad Harimau Malaya mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan 0-1. Lima gol berjaya dijaringkan pada babak kedua menerusi dua jaringan Romel Morales serta masing-masing satu jaringan daripada Faisal Halim, Paulo Josue dan gol sendiri pemain Laos, Khammanh Thapaseut. Sementara itu, gol tunggal buat pasukan pelawat disumbangkan oleh Chanthavixay Khounthoumphone.

Kemenangan besar ini menjadi suntikan semangat buat skuad kendalian Peter Cklamovski untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan, manakala Laos pula perlu bangkit dalam dua perlawanan terakhir untuk menutup kempen kelayakan dengan lebih bermaruah. Walaupun kalah, Ha Hyeok-jun optimis pasukannya mampu menunjukkan peningkatan dari segi disiplin, organisasi dan kekuatan mental dalam aksi seterusnya.

Dengan pengakuan jujur pengendali itu, jelas Laos sedar bahawa usaha memperkukuh asas bola sepak negara mereka perlu diteruskan. Fokus terhadap pembangunan liga domestik, latihan intensif dan pendedahan antarabangsa akan menjadi kunci kepada kebangkitan skuad The Thunders pada masa akan datang.