Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menzahirkan rasa malu terhadap skandal pemalsuan dokumen membabitkan pemain import skuad Harimau Malaya yang kini menjadi perhatian dunia selepas pendedahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Menurut beliau, isu yang dibangkitkan itu menunjukkan wujudnya tangan-tangan ghaib individu berpengaruh yang mampu mengatur keadaan hingga menjejaskan imej negara di pentas antarabangsa.
Kontroversi berkenaan tercetus apabila badan bola sepak Vietnam mempersoalkan asal usul tujuh pemain import yang didaftarkan untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia. Menurut laporan rasmi FIFA, hasil siasatan menunjukkan terdapat bukti jelas pemalsuan dokumen ketika proses pendaftaran pemain berdarah warisan Malaysia dilakukan oleh pihak tertentu.
Dalam wawancara podcast “Top News” terbitan Sinar Daily pada Khamis, Dr Mahathir menegaskan, isu itu amat memalukan kerana melibatkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Beliau menzahirkan kekesalan apabila tujuh pemain import itu dinaturalisasikan dalam keadaan yang mencurigakan, sambil menyifatkan tindakan berkenaan satu bentuk penipuan terancang yang menggambarkan wujud pengaruh kuat di sebalik tabir.
“Menipu sampai ke tahap pemalsuan dokumen untuk kepentingan bola sepak negara amat mengejutkan. Ini bukan perkara kecil, tetapi menunjukkan seseorang mempunyai kuasa yang luar biasa,” katanya dalam program tersebut.
Dr Mahathir turut menjelaskan bahawa keadaan ini mencerminkan sistem keadilan terpilih di negara ini, di mana pengaruh individu menentukan tahap akauntabiliti. Beliau menegaskan ada pihak yang boleh disiasat walaupun tidak bersalah, namun mereka yang benar-benar melakukan kesalahan dibiarkan bebas tanpa tindakan. “Ini jelas menunjukkan corak penguatkuasaan undang-undang secara terpilih,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan isu asal usul pemain yang dikatakan lahir di luar negara tetapi didaftarkan seolah-olah lahir di Malaysia adalah bukti pembohongan nyata. “Tempat lahir sebenar di Argentina, tapi ditulis di Pulau Pinang. Ini bukan kesilapan, tapi satu cubaan menipu,” tegasnya.
FIFA sebelum ini mengesahkan melalui laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertibnya, Jorge Palacio, bahawa terdapat percanggahan besar antara dokumen asal yang diperoleh badan itu dengan salinan yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Antara kes yang menjadi perhatian ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel, apabila dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, sedangkan sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.
Akibat pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu, FAM dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta. Sementara itu, tujuh pemain terbabit turut dikenakan denda RM11,000 setiap seorang serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak rasmi.
Dalam laporan sama, FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan mereka tidak pernah menerima sijil kelahiran asal bagi tujuan pengesahan salasilah pemain-pemain terbabit. Sebaliknya, JPN hanya mengeluarkan salinan dokumen berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara yang dikemukakan oleh pihak tertentu.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan permohonan tujuh pemain terbabit untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui proses naturalisasi. Beliau berkata, kelulusan itu termasuk dalam senarai 23 pemain yang pernah diperakui sepanjang tempoh perkhidmatannya, dan dibuat mengikut peruntukan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan individu bukan warganegara memohon kerakyatan Malaysia.
Mengulas sama ada skandal ini boleh dianggap sabotaj terhadap Malaysia, Dr Mahathir menolak tanggapan itu. “Ini bukan sabotaj, tetapi dilakukan oleh seseorang yang merasakan dirinya kebal dan di atas undang-undang,” katanya lagi.
Beliau menutup wawancara dengan menegaskan bahawa tindakan menipu dalam bidang sukan atau politik hanya akan memalukan negara. “Kalau mahu menang pilihan raya atau perlawanan bola sepak, buatlah dengan cara betul. Jangan menipu dan mereka cerita,” ujarnya.