Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mengesahkan hasil siasatan menyeluruh berhubung isu pemain warisan yang dikaitkan dengan pasukan bola sepak Malaysia. Dalam laporan rasmi setebal 19 muka surat bertajuk Notification of the grounds of the Decision-FDD-24394, badan induk dunia itu menjelaskan bahawa Badan Kehakiman FIFA telah berjaya menemui bukti kukuh termasuk memperoleh salinan sijil kelahiran sebenar dari negara asal tujuh pemain yang terlibat, selain dokumen berkaitan datuk dan nenek masing-masing.
Dokumen tersebut ditandatangani oleh Pengarah Badan Kehakiman FIFA, Luis Villas Pires, dan menyatakan dengan jelas bahawa kes berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC 2025). Pelanggaran itu berkait dengan penggunaan dokumen tidak sah oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain kelahiran luar negara bagi membuktikan asal usul mereka sebagai rakyat Malaysia.
Antara nama pemain yang disebut dalam laporan itu ialah Facundo Garces, Imanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal. Menurut FIFA, ketujuh-tujuh pemain tersebut didapati tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Malaysia walaupun dokumen yang dikemukakan sebelum ini menunjukkan sebaliknya. Badan itu menegaskan penemuan bukti rasmi yang mengesahkan maklumat asal pemain adalah berbeza daripada yang dihantar kepada FIFA ketika proses pengesahan kelayakan dijalankan.
Laporan berkenaan turut memperincikan maklumat tempat kelahiran datuk dan nenek pemain terbabit. Antaranya, nenek kepada Gabriel Palmero disahkan dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol. Datuk kepada Facundo Garces pula berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina. Manakala datuk kepada Rodrigo Holgado direkodkan lahir di Buenos Aires, Argentina, dan nenek kepada Imanol Machuca pula dilahirkan di Roldan. Dalam masa sama, datuk kepada Joao Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil, sementara datuk kepada Jon Irazabal dikesan berasal dari wilayah Viscaya di Sepanyol. Datuk kepada Hector Hevel Serrano pula didapati lahir di The Hague, Belanda.
FIFA dalam dokumen tersebut menjelaskan secara terperinci kronologi bagaimana tujuh pemain berkenaan pada awalnya diberi kebenaran untuk mewakili Malaysia. Difahamkan, FAM telah menghantar beberapa permohonan atau inquiry on eligibility kepada FIFA antara Mac hingga Jun 2025 bagi tujuan pengesahan kelayakan pemain tersebut. Dalam maklum balas awal antara 24 Mac hingga 9 Jun 2025, FIFA menyatakan bahawa dokumen yang diterima kelihatan lengkap dan pemain berkenaan dianggap layak untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Malaysia.
Namun, keadaan berubah pada 11 Jun 2025 apabila FIFA menerima satu aduan rasmi daripada pihak lain yang mempertikaikan kesahihan dokumen kelahiran dan keturunan tujuh pemain berkenaan. Aduan itu membawa kepada pembukaan siasatan baharu oleh Badan Kehakiman FIFA yang kemudiannya menemukan pelbagai ketidaktepatan dalam dokumen asal. Penemuan tersebut menjadi asas kepada keputusan yang diumumkan dalam dokumen setebal 19 muka surat itu.
Dalam bahagian akhir laporan berkenaan, FIFA turut menerangkan bahawa FAM masih mempunyai hak dan peluang untuk mengemukakan rayuan. Badan induk dunia itu memberi tempoh sehingga hujung minggu ini kepada FAM untuk mengemukakan permohonan rasmi sekiranya mahu mencabar keputusan yang dibuat oleh Badan Kehakiman FIFA. Laporan itu juga menggariskan prosedur undang-undang yang perlu diikuti oleh FAM bagi memastikan proses rayuan dapat dipertimbangkan secara adil.
Isu ini menarik perhatian ramai pemerhati bola sepak tempatan kerana ia berkait rapat dengan dasar pemain warisan yang menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini. Penemuan bukti oleh FIFA bukan sahaja menimbulkan persoalan terhadap proses semakan kelayakan pemain, tetapi turut memberi kesan kepada reputasi FAM di peringkat antarabangsa. Dalam masa sama, ia menimbulkan persoalan baharu mengenai sistem kawalan dan pengesahan dokumen yang digunakan sebelum ini. Kes ini dijangka terus menjadi perhatian komuniti bola sepak tempatan dan antarabangsa sehingga keputusan rayuan FAM diumumkan.