Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang disifatkan sebagai tidak tepat dan tidak adil berhubung hukuman berat yang dikenakan terhadap badan induk bola sepak negara itu serta tujuh pemain warisan.
FIFA sebelum ini telah mengumumkan butiran penuh keputusan mereka mengenai kes yang melibatkan FAM dan tujuh pemain berkenaan. Pendedahan itu mencetuskan reaksi tegas daripada pihak FAM yang menolak dakwaan serta kesimpulan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin FIFA, khususnya berkaitan tuduhan pemalsuan dokumen kelayakan pemain.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, FAM menegaskan bahawa badan induk itu memandang serius tuduhan berkenaan dan menolak sama sekali dakwaan bahawa pemain-pemain terbabit menggunakan dokumen palsu atau berusaha mengelak peraturan kelayakan.
“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa pemain-pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan. FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini dikemukakan oleh FIFA,” kata kenyataan itu.
Menurut FAM lagi, semua dokumen dan penyerahan berkaitan proses kelayakan pemain telah diuruskan sepenuhnya oleh badan itu mengikut prosedur yang sah dan ditetapkan oleh FIFA sendiri.
“Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan. Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM,” tambah kenyataan tersebut.
FAM turut menyifatkan kesimpulan yang dibuat oleh FIFA sebagai tidak adil dan memberi gambaran negatif terhadap badan induk itu serta tujuh pemain berkenaan. Menurut FAM, pihaknya akan membawa perkara ini ke peringkat rayuan rasmi bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“FAM berpendapat bahawa gambaran ini adalah tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi. FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan,” katanya lagi.
FAM juga menegaskan bahawa pihaknya akan menggunakan semua saluran undang-undang yang ada untuk mempertahankan kes ini. “FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini,” jelas kenyataan tersebut.
FIFA memberi tempoh tiga hari kepada FAM untuk menjawab sebab-sebab di sebalik keputusan yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Disiplin sebelum tempoh lima hari tambahan bagi menghantar rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Dalam butiran yang didedahkan FIFA, terdapat perbezaan ketara antara maklumat sijil kelahiran yang diserahkan FAM dan dokumen asal yang diperoleh sekretariat FIFA. Tujuh pemain terlibat disebut mempunyai percanggahan lokasi kelahiran datuk dan nenek masing-masing.
Antara yang dinyatakan, sijil kelahiran Datuk/Nenek Maria Belen Concepcion Martin yang dikemukakan oleh FAM menunjukkan kelahiran di Melaka, Malaysia, namun rekod FIFA menunjukkan kelahiran berlaku di Santa de la Palma, Sepanyol.
Begitu juga dengan sijil Datuk/Nenek Carlos Rogelio Fernandez yang menurut FAM dilahirkan di Pulau Pinang, sedangkan dokumen FIFA menyatakan di Villa Maria Selva, Argentina. Selain itu, Omar Eli Holgado Gardon yang dikatakan lahir di George Town, Pulau Pinang, didapati dalam rekod FIFA dilahirkan di Caseros, Buenos Aires.
Turut tersenarai ialah Concepcion Agueda Alaniz yang menurut dokumen FAM lahir di Pulau Pinang, tetapi dokumen FIFA menyebut Roldan, Argentina. Manakala, Nair de Oliveira pula dikatakan lahir di Johor, namun sijil kelahiran FIFA menunjukkan lokasi sebenar di Abre Campo, Brazil.
Selain itu, Gregorio Irazabal Lamiquiz dilaporkan oleh FAM sebagai lahir di Kuching, Sarawak, tetapi dokumen FIFA menunjukkan beliau sebenarnya berasal dari Villa de Guernica y Luno, Sepanyol. Akhir sekali, Hendrik Jan Hevel yang disebut oleh FAM sebagai lahir di Negeri-Negeri Selat, Melaka, didapati oleh FIFA dilahirkan di The Hague, Belanda.
FAM dijangka akan menyerahkan rayuan rasmi dalam masa terdekat bagi mempertahankan maruah bola sepak negara dan nama baik pemain-pemain terbabit.