Susulan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan. Langkah itu diambil selepas keputusan FIFA yang turut menyaksikan pemain-pemain terbabit dikenakan penggantungan serta denda kepada FAM.
Persoalan kini timbul, sejauh mana kes ini berbeza dengan insiden yang pernah menimpa Timor Leste pada 2017? Ketika itu, negara berkenaan digantung daripada menyertai saingan kelayakan Piala Asia 2023 selepas didapati bersalah menggunakan sembilan pemain naturalisasi yang gagal mengemukakan dokumen sah ketika kelayakan Piala Asia 2019.
Lebih parah, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut membatalkan semua keputusan melibatkan pasukan Timor Leste, termasuk 29 perlawanan yang dijalankan di bawah pengelolaan AFC. Hasil siasatan mendedahkan sembilan daripada 12 pemain yang lahir di Brazil memalsukan dokumen kelahiran dan tidak mempunyai ibu bapa berketurunan Timor Leste.
Akibat pelanggaran itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo Sarmento, digantung selama tiga tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak. Beberapa pegawai lain turut dikenakan hukuman kewangan, termasuk Gelasio De Silva Carvalho yang didenda kerana mencemarkan reputasi bola sepak antarabangsa.
Timor Leste bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan atau membawa isu itu ke Mahkamah Timbangtara Antarabangsa (CAS), sekaligus menutup terus peluang mereka untuk menentang keputusan FIFA ketika itu.
Berbeza dengan situasi tersebut, FAM memilih untuk menggunakan hak rayuan sepenuhnya. Pada 26 September lalu, badan induk bola sepak negara itu diperintah membayar denda yang ditetapkan oleh FIFA. Dalam masa sama, tujuh pemain warisan — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Menurut laporan media tempatan, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul, menjelaskan bahawa FAM perlu melalui proses yang panjang sebelum keputusan muktamad dicapai. Proses ini bakal berlarutan sehingga ke peringkat CAS sekiranya FAM memilih untuk meneruskan rayuan.
Kenyataan rasmi FAM semalam mengesahkan bahawa rayuan akan dikemukakan dalam tempoh lima hari seperti yang diperuntukkan. Sekiranya keputusan rayuan tidak memihak kepada FAM, mereka mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon alasan penghakiman penuh atau ‘motivated decision’ daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA, sebelum diberi masa 21 hari untuk membawa kes itu ke CAS.
Namun, FAM juga bakal berdepan satu lagi keputusan penting daripada Jawatankuasa Tribunal Bola Sepak FIFA yang akan menilai status kelayakan tujuh pemain tersebut. Walaupun keputusan penuh belum dikeluarkan, perdebatan di media sosial semakin rancak membincangkan kemungkinan Harimau Malaya disingkirkan daripada saingan Piala Asia 2027.
Selain itu, status Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menjadi perhatian kerana tiga pemain — Irazabal, Hevel dan Figueiredo — pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Meskipun peraturan kejohanan membenarkan pendaftaran pemain asing tanpa had, persoalan timbul sama ada kedudukan JDT akan terjejas atau sebaliknya.
Dalam Liga Malaysia (Liga-M), timbul pula kebimbangan mengenai penolakan mata atau kemenangan percuma kepada pasukan lawan sekiranya pemain terlibat didapati tidak layak.
Beberapa pemain termasuk Holgado, Machuca, Palmero dan Garces dilaporkan mungkin meninggalkan kelab masing-masing di Eropah akibat implikasi keputusan tersebut.
Sekiranya FAM gagal mencabar keputusan FIFA sepenuhnya, isu ini bakal diserahkan kepada AFC untuk tindakan lanjut. Dalam masa sama, skuad Harimau Malaya yang diketuai Peter Cklamovski kini berada di Laos bagi menghadapi aksi ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 9 Oktober ini sebelum perlawanan timbal balik di tanah air pada 14 Oktober.
Krisis ini bukan sekadar ujian kepada FAM, tetapi juga cabaran besar terhadap kredibiliti sistem dokumentasi pemain warisan dalam bola sepak moden.