sukan

FIFA dedahkan kronologi permohonan FAM

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas mendapati berlaku ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain berkenaan.

Laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025 yang dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berasaskan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Pendedahan ini sekali gus merungkai persoalan penyokong tempatan mengenai punca sebenar hukuman berkenaan, selepas timbul tanda tanya berikutan semua pemain terbabit pernah beraksi dalam skuad kebangsaan sejak Mac lalu tanpa sebarang masalah.

Dalam penghakiman penuh itu, FIFA turut memperincikan kronologi bagaimana badan induk dunia itu pada awalnya memberi kebenaran kepada tujuh pemain terbabit untuk mewakili Malaysia, sebelum siasatan lanjut mendapati terdapat percanggahan dalam sijil kelahiran yang dikemukakan.

Berdasarkan laporan tersebut, kes bermula pada 19 Mac 2025 apabila FAM menghantar pertanyaan berhubung kelayakan pemain Hector Hevel dengan melampirkan sijil kelahiran datuknya bertarikh 6 Januari 2025. Dokumen itu menunjukkan Hendrik Jan Hevel dilahirkan pada 3 Februari 1933 di Selat Melaka, Malaysia, dan difailkan di bawah rujukan FPSD-18682.

Sehari kemudian, pada 20 Mac 2025, FAM turut mengemukakan pertanyaan mengenai Gabriel Felipe Arocha dengan sijil kelahiran neneknya yang menunjukkan María Belen Concepción Martin dilahirkan pada 17 Mei 1956 di Melaka, Malaysia (FPSD-18683).

Pada 24 Mac 2025, FIFA membalas surat berkaitan kes Hevel dan menyatakan pemain itu memenuhi syarat kelayakan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Malaysia.

Siri permohonan FAM diteruskan pada 6 Jun 2025 untuk beberapa pemain lain termasuk Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo dan Jon Irazabal Iraurgui, masing-masing disertakan sijil kelahiran ahli keluarga yang didakwa lahir di Malaysia. Semua kes ini didaftarkan di bawah rujukan berlainan antara FPSD-19517 hingga FPSD-19521.

FIFA kemudian mengesahkan kelayakan mereka, termasuk Machuca dan Irazabal, manakala pada 9 Jun 2025, badan itu turut mengesahkan kelayakan Garces, Holgado dan Figueiredo.

Kesemua tujuh pemain terbabit kemudian diturunkan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun 2025, di mana Malaysia menang 4-0. Figueiredo dan Holgado masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-49 dan 59.

Namun, sehari selepas itu, pada 11 Jun 2025, FIFA menerima aduan rasmi mengenai kelayakan beberapa pemain berkenaan, dengan dakwaan bahawa mereka baru tiba di Malaysia dan proses naturalisasi berlaku dalam tempoh mencurigakan.

FIFA bertindak menjalankan siasatan mengikut Artikel 30(1) dan 35(5) Kod Tatatertib FIFA (FDC). Siasatan itu menemui bukti bahawa sijil kelahiran yang dikemukakan mengandungi maklumat palsu mengenai tempat lahir datuk atau nenek pemain.

Antara penemuan penting ialah tempat lahir asal beberapa individu yang disenaraikan tidak berada di Malaysia. Contohnya, María Belen Concepción Martin sebenarnya dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, bukannya di Melaka seperti dinyatakan.

Begitu juga Carlos Rogelio Fernandez (datuk Garces) sebenarnya lahir di Santa Fé de la Cruz, Argentina, bukannya Pulau Pinang. Kes serupa turut melibatkan Omar Eli Holgado Gardon (Buenos Aires, Argentina), Concepción Agueda Alaniz (Roldán, Argentina), Nair de Oliveira (Abre Campo, Brazil), Gregorio Irazabal y Lamiquiz (Viscaya, Sepanyol) dan Hendrik Jan Hevel (The Hague, Belanda).

Ekoran itu, pada 22 dan 28 Ogos 2025, prosiding tatatertib dibuka terhadap FAM serta tujuh pemain berkenaan, dan mereka diberi tempoh hingga 22 September untuk menjawab melalui Portal Perundangan FIFA.

Setelah jawapan dikemukakan, kes dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 25 September 2025 untuk keputusan akhir. Hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran terhadap Artikel 22 FDC.

FAM dikenakan denda CHF 350,000 (bersamaan RM1.8 juta) iaitu CHF 50,000 bagi setiap pemain, manakala tujuh pemain terbabit masing-masing dikenakan denda CHF 2,000 (RM10,650) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.