Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, tampil penuh keyakinan menjelang aksi Terbuka Artik di Finland yang bakal membuka tirai esok apabila beliau percaya pasangan utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mampu bangkit menampilkan prestasi terbaik selepas melalui tempoh sukar dalam beberapa kejohanan terdahulu.
Menurut Herry, kejohanan bertaraf Super 500 itu menjadi medan penting untuk beregu ranking kedua dunia itu menebus semula kehampaan selepas prestasi mereka kurang meyakinkan di tiga kejohanan terakhir iaitu Kejohanan Dunia, Terbuka Hong Kong dan Masters China. Beliau menegaskan bahawa tumpuan utama kini adalah untuk mengembalikan semangat serta keyakinan diri pasangan tersebut.
“Harapan saya memang begitu, untuk mereka bangkit semula. Selepas pulang dari China, mereka kembali menjalani latihan dengan lebih fokus. Saya lihat ada motivasi baharu dalam diri mereka selepas keputusan kurang memuaskan di Hong Kong dan China,” katanya ketika ditemui.
Tambah beliau, kejohanan di Eropah kali ini dilihat sebagai pentas terbaik bagi Aaron dan Wooi Yik memperbaiki semula kedudukan mereka serta membuktikan kemampuan sebenar selepas beberapa keputusan mengecewakan.
Herry turut menjelaskan bahawa peluang untuk meraih kejuaraan kali ini agak terbuka berikutan ketiadaan beberapa pasangan beregu utama dunia yang tidak beraksi, termasuk gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae, serta beregu nombor lima dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty.
Situasi ini memberi kelebihan kepada Aaron-Wooi Yik untuk mengintai peluang kejuaraan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 atau kira-kira RM158,130 sekiranya berjaya menjuarai kejohanan tersebut.
“Dengan ketiadaan beberapa nama besar, ia menjadi peluang terbaik untuk mereka muncul juara. Namun, saya tetap ingatkan bahawa setiap perlawanan penting dan tidak boleh dipandang mudah,” ujar Herry lagi.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa cabaran sebenar dijangka hadir pada peringkat separuh akhir apabila gandingan Malaysia itu berkemungkinan besar bertemu pasangan handalan dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang, yang kini menduduki ranking kelima dunia.
Dalam pertemuan-pertemuan sebelum ini, rekod memihak kepada pasangan China itu dengan lapan kemenangan berbanding tiga milik Aaron dan Wooi Yik. Namun begitu, pasangan Malaysia pernah menundukkan mereka dalam pertemuan terakhir di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, April lalu, sekali gus memberikan sedikit kelebihan dari segi psikologi.
Aaron dan Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan akan memulakan cabaran menentang pasangan Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard, yang kini berada di ranking ke-27 dunia.
Selain mereka, kem Malaysia turut diwakili beberapa gandingan lain termasuk beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, serta pasangan muda seperti Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, Mohd Haikal Nazri-Choong Hon Jian dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang turut akan beraksi di Finland.
Herry berharap semua pasangan negara mampu memanfaatkan peluang kali ini untuk mengutip mata berharga menjelang kejohanan lebih besar selepas ini.