Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala FA 2025 selepas mencatat kemenangan bergaya menewaskan UM Damansara United dengan keputusan 5-3 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. Kemenangan itu sekali gus mengesahkan kemaraan juara bertahan dengan agregat 10-3.
Skuad kendalian Xisco Munoz akan berdepan Penang FC pada aksi pertama suku akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 18 Oktober ini. Kejayaan itu juga membuktikan dominasi Harimau Selatan masih sukar digugat walaupun menurunkan barisan yang dianggap sebagai kesebelasan kedua pada perlawanan tersebut.
Munoz melakukan rombakan besar dalam pemilihan pemain utama, namun keputusan itu tidak menjejaskan corak permainan pasukannya. Seawal minit ketiga, JDT sudah menemui rentak apabila Romel Morales menanduk masuk hantaran lintang Manuel Hidalgo untuk gol pembukaan. Lima minit kemudian, Hidalgo pula menambah jaringan selepas memperdaya benteng pertahanan lawan sebelum melencongkan bola ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol pelawat, Haziq Fitri Nek Lah.
Dominasi pasukan tuan rumah berterusan pada minit ke-14 apabila lorongan kemas Nazmi Faiz Mansor membuka ruang buat Heberty Fernandes melakukan rembatan leret menewaskan Haziq. Gol itu membolehkan JDT selesa mendahului 3-0 pada perlawanan serta 8-0 secara agregat.
Pada babak kedua, Harimau Selatan masih menguasai perlawanan. Penyokong di Stadium Sultan Ibrahim turut menyaksikan debut pemain muda, Ibrahim Manusi, yang masuk menggantikan Shahrul Saad pada minit ke-60. Namun, penampilan sulung itu tidak berjalan lancar apabila kesilapan tolakan ke belakang gagal dikawal penjaga gol Christian Abad, sekali gus memberi peluang kepada Thankgod Michael menyambar bola untuk menjaringkan gol pertama UM Damansara United pada minit ke-62.
Empat minit kemudian, kelalaian benteng JDT dihukum sekali lagi. Lontaran ke dalam Brandon Liew gagal dikeluarkan oleh Corbin Ong, membolehkan Michael merampas bola sebelum melorongkan kepada pemain gantian, Anuar Ceesay, yang tenang menyempurnakan peluang untuk merapatkan jurang.
Namun, kebangkitan pasukan pelawat disekat apabila Morales sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring. Tandukan kemasnya hasil sepakan sudut Heberty pada minit ke-70 menjadikan kedudukan 4-2, dengan agregat 9-2 memihak JDT. Walau begitu, Ceesay tidak mengalah dan kembali meledak pada minit ke-74 selepas berjaya menewaskan Ibrahim, sebelum melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan Abad.
Drama perlawanan semakin rancak apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti pada minit-minit akhir. Morales yang mengambil sepakan itu gagal menewaskan Haziq Fitri yang cemerlang menepis bola. Namun, pemain kelahiran Colombia itu tetap memastikan kemenangan apabila melengkapkan hatrik menerusi gol pada lewat permainan selepas menerima hantaran lintang Moussa Sidibe.
Kemenangan 5-3 itu menyaksikan JDT mara ke suku akhir dengan agregat 10-3, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan utama dalam saingan Piala FA kali ini.