Penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, kini mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air selepas dikhabarkan berada di Malaysia bersama wakilnya. Kehadirannya dipercayai bertujuan mengadakan perbincangan lanjut berhubung hukuman yang dijatuhkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.
Holgado yang beraksi bersama kelab America de Cali, bersama enam lagi pemain warisan lain, sebelum ini digantung selama 12 bulan oleh FIFA. Hukuman berkenaan berpunca daripada dakwaan pemalsuan dokumen yang dikaitkan dengan proses pendaftaran mereka. Keputusan itu nyata memberi impak besar terhadap perjalanan karier mereka, selain menjejaskan persiapan skuad kebangsaan.
Sebuah hantaran yang tular di laman sosial X menyebut: “Rodrigo Holgado kini berada di Malaysia bersama wakilnya. Pemain America de Cali itu berangkat selepas dikenakan sekatan FIFA terhadap pasukan kebangsaan dan enam pemain lain. Penyerang itu berharap situasi tersebut dapat diselesaikan dengan mengambil kira tempoh 10 hari untuk melakukan rayuan.”
Situasi ini menambahkan lagi kerisauan penyokong bola sepak tempatan, apatah lagi ketika Harimau Malaya sedang giat membuat persediaan menghadapi jadual perlawanan akan datang. Kehilangan pemain utama warisan sememangnya memberi kesan kepada kekuatan pasukan, terutama dalam saingan antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui kenyataan rasmi terbaharu memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA. Kenyataan itu menegaskan bahawa proses rayuan hanya boleh dilakukan selepas dokumen rasmi diterima sepenuhnya mengikut saluran undang-undang yang ditetapkan.
“FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada,” jelas kenyataan berkenaan.
FAM turut mengakui wujudnya kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang melibatkan kakitangan pentadbiran. Bagaimanapun, badan induk itu menegaskan bahawa pemain warisan yang terlibat tetap merupakan warganegara Malaysia yang sah.
“FAM mengambil serius perkara ini. Bagaimanapun, FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” tambah kenyataan tersebut.
Perkembangan terkini ini dijangka terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air. Ramai mengharapkan agar rayuan yang bakal difailkan mendapat pertimbangan sewajarnya, sekaligus membolehkan pemain terlibat kembali beraksi secepat mungkin demi kepentingan skuad kebangsaan.