sukan

Saya tidak boleh persoal tentang itu — Christophe Gamel

Pemangku ketua jurulatih Selangor, Christophe Gamel, mengakui kekangan masa yang begitu terhad menjadi antara cabaran terbesar buatnya dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan menentang Lion City Sailors dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) hari ini.

Jurulatih dari Perancis itu baru sahaja mengambil alih kendalian skuad Red Giants selepas kekalahan pada perlawanan pertama menentang Bangkok United di laman sendiri ketika pasukan masih dipimpin Kinoshi Katsuhito. Situasi itu menyebabkan Gamel hanya sempat bersama pasukan dalam tempoh empat hari sebelum berdepan cabaran kedua kumpulan.

“Saya hanya ada empat hari dengan pasukan dan satu perlawanan setakat ini. Itu tidak mencukupi kerana dalam bola sepak kita memerlukan masa untuk membina rentak permainan yang stabil,” katanya ketika ditemui menjelang perlawanan.

Beliau menambah, walaupun kekangan masa menjadi halangan utama, aspek motivasi pemain tetap menjadi perkara yang amat penting untuk memastikan pasukan tidak hilang arah. “Saya rasa pemain perlu terus bermotivasi dan mengimbangi campuran masa dengan lebih banyak tenaga supaya dapat menjadi pemangkin semangat dalam permainan,” katanya lagi.

Selangor bakal turun menentang Lion City Sailors di Stadium Bishan pada jam 6 petang ini. Misi utama skuad Red Giants adalah membawa pulang tiga mata penuh selepas dikecewakan dalam perlawanan pembukaan.

Gamel bagaimanapun optimis dengan kemampuan pemain-pemainnya untuk bangkit. “Saya tidak boleh mempersoalkan komitmen mereka. Itu tugas kami sebagai pasukan jurulatih untuk menjadikannya kenyataan, tidak kira dalam apa juga situasi,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa fokus pasukan adalah jelas, iaitu untuk meraih kemenangan pertama dalam kempen kali ini. “Pertama sekali kami ingin mendapatkan tiga mata. Kami akan cuba melakukan beberapa perubahan berdasarkan apa yang saya lihat sepanjang tempoh singkat bersama pasukan,” katanya menutup bicara.

Walaupun tempoh empat hari dianggap terlalu singkat untuk seorang jurulatih baharu menyesuaikan diri, pengalaman luas Gamel di pentas bola sepak antarabangsa diyakini menjadi aset penting. Kini, penyokong setia Selangor pastinya menaruh harapan besar agar pasukan mampu menampilkan permainan lebih tersusun, sekali gus membuka ruang kebangkitan dalam saingan ACL2.