Skuad Harimau Malaya kini berada pada tahap prestij tersendiri apabila mula menjadi perhatian dan dianggap ancaman oleh negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara. Kejayaan demi kejayaan yang dicatatkan kebelakangan ini telah mengangkat reputasi pasukan kebangsaan sehingga mencetuskan rasa bimbang di kalangan pencabar tradisi.
Bekas penyerang negara, Safee Sali menyifatkan perkembangan positif yang dipamerkan Harimau Malaya adalah tanda pasukan ini semakin digeruni. Beliau melihat momentum yang ada ketika ini perlu dipertahankan agar skuad negara terus mara dalam arena antarabangsa.
“Pada pandangan saya, semua negara jiran sudah mula risau dengan kekuatan Harimau Malaya. Sekarang ini peluang untuk pemain-pemain lain bangkit dan meneruskan momentum pasukan,” katanya menerusi satu hantaran di InstaStory. Dalam hantaran sama, Safee turut memaparkan laporan berhubung tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.
Safee, yang pernah membantu skuad negara merangkul Kejuaraan Piala AFF 2010, menggesa seluruh penyokong bola sepak tanah air agar tidak mudah terpengaruh dengan emosi. Menurutnya, kenyataan awal FIFA mengenai isu tersebut tidak wajar dijadikan alasan untuk terus mengecam pasukan atau pihak pengurusan bola sepak negara.
“Jika ketika menang kita bersorak bersama, saat diuji seperti ini kita perlu hadir dengan sokongan lebih kuat dan tidak berbelah bahagi. Harimau Malaya adalah pasukan kebanggaan kita. FIFA baru mengeluarkan kenyataan sedikit, sudah ramai yang melatah mengecam negara sendiri, seolah-olah tidak sabar menunggu fakta penuh,” ujar bekas pemain berusia 41 tahun itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa semua pihak perlu menghormati proses keadilan. Menurut Safee, penyokong seharusnya tidak menjatuhkan hukuman sebelum keputusan rasmi dikeluarkan.
“Orang dituduh membunuh pun masih diberikan peguam bela dan peluang mempertahankan diri. Ini belum tentu salah, tetapi ramai sudah jadi hakim dan juri. Bila negara kita dituduh, sepatutnya kita bersatu hati, bukan saling tuduh-menuduh. Berdiri teguh dahulu, kemudian nilai dengan akal, bukan emosi,” katanya.
Safee menegaskan Harimau Malaya adalah simbol kebanggaan rakyat Malaysia dan skuad kebangsaan memerlukan dokongan yang tidak berbelah bahagi, baik ketika di puncak mahupun ketika berdepan cabaran getir.
Beliau percaya semangat kebersamaan rakyat mampu menjadi kekuatan tambahan kepada Harimau Malaya untuk menghadapi sebarang isu dan cabaran. Bagi Safee, kritikan berlebihan dan emosi hanya akan melemahkan moral pemain serta mengganggu fokus pasukan yang sedang berusaha membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.
Dengan kejayaan yang telah diraih dan ancaman yang semakin nyata kepada pasukan lawan, Safee menyeru agar penyokong memberikan keyakinan kepada pemain. Katanya, sejarah telah membuktikan Harimau Malaya mampu mencipta kejutan, dan sokongan padu rakyat Malaysia akan terus menjadi faktor penting dalam perjalanan pasukan menuju kejayaan yang lebih besar.