sukan

Kenapa FIFA tiba-tiba ubah keputusan

Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi tampil bersuara mengenai isu hangat yang sedang melanda arena bola sepak negara. Beliau yang lebih dikenali dengan jolokan ‘MatDon’ menyuarakan pandangan peribadi menerusi hantaran di laman Story Instagram miliknya dengan harapan agar semua pihak terus memberikan sokongan padu kepada skuad kebangsaan.

Liridon menegaskan bahawa segala prosedur dan langkah berkaitan proses naturalisasi telah dipatuhi mengikut garis panduan ditetapkan. Menurutnya, dokumen rasmi, kerjasama pihak kerajaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah dilaksanakan dengan teratur. Justeru, beliau mempertikaikan mengapa keputusan yang sebelum ini sudah disahkan tiba-tiba dipersoalkan semula.

“Malaysia telah membuat segala perkara dengan betul. Setiap dokumen, prosedur dan langkah telah dipatuhi dengan kerjasama pihak kerajaan, FAM dan FIFA sendiri. Para pemain ini sudah pun diluluskan. Sekarang tiba-tiba keputusan diubah? Kenapa? Oleh siapa?” kata beliau.

Liridon dalam masa sama menyeru agar semua lapisan masyarakat termasuk pemain, penyokong, media serta pihak kerajaan berdiri teguh menyokong skuad Harimau Malaya. Beliau menegaskan bahawa masa kini bukanlah waktu untuk berpecah, sebaliknya rakyat perlu bersatu mempertahankan maruah bola sepak tanah air.

“Ini bukan masa untuk berpecah. Ini masanya untuk setiap rakyat Malaysia iaitu pemain, penyokong, media, kerajaan, semua untuk berdiri bersama. Jika kita tidak mempertahankan maruah kita sendiri, tiada siapa lagi yang akan melakukannya,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, skuad negara tidak boleh dibiarkan tertekan dengan isu yang datang daripada pihak luar. Sokongan padu daripada rakyat diyakini mampu menyemarakkan lagi semangat kebangkitan bola sepak Malaysia.

“Sokong pemain kita, pasukan kita dan bendera kita. Kita tidak akan biarkan tekanan daripada pihak luar hentikan kebangkitan Malaysia,” katanya.

Sebagai rekod, Liridon Krasniqi menerima kerakyatan Malaysia pada tahun 2020 selepas Mohamadou Sumareh. Sejak itu, beliau telah menyarung jersi Harimau Malaya dalam enam perlawanan antarabangsa dan kekal optimis untuk terus berkhidmat buat negara.

Dengan kenyataan terbuka ini, Liridon dilihat cuba meniupkan semangat kesatuan dalam kalangan rakyat Malaysia. Beliau menegaskan bahawa hanya dengan kesepaduan dan sokongan tanpa henti, skuad kebangsaan mampu menghadapi segala cabaran di peringkat antarabangsa.

Pemerhati bola sepak menyifatkan kenyataan beliau sebagai satu mesej jelas bahawa pemain naturalisasi juga mempunyai semangat nasionalisme tinggi untuk mempertahankan nama Malaysia. Ia sekali gus membuktikan keikhlasan pemain naturalisasi dalam menyumbang kepada kemajuan bola sepak negara.