sukan

Jika bukan kita , siapa lagi

Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi, tampil menyuarakan rasa kecewa terhadap keputusan mengejut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menjatuhkan hukuman denda kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta penggantungan tujuh pemain warisan negara.

Menurut Liridon, keputusan itu bukan sahaja dianggap tidak adil, malah merupakan satu bentuk penghinaan terhadap maruah Malaysia, pemain, dan penyokong bola sepak tanah air.

“Sebagai seorang yang pernah menyarung jersi Malaysia dengan penuh kebanggaan, saya tidak mampu untuk berdiam diri melihat apa yang berlaku. Keputusan ini bukan sahaja tidak adil, malah ia merendahkan usaha serta pengorbanan yang telah dibuat selama bertahun-tahun,” kata Liridon dalam satu hantaran di InstaStory miliknya.

Beliau menegaskan bahawa segala prosedur dan peraturan telah dipatuhi oleh FAM dengan kerjasama kerajaan serta pihak FIFA sendiri sebelum ini. Malah, pemain yang terbabit sudah pun diluluskan untuk beraksi dalam saingan kelayakan.

“Setiap dokumen, setiap langkah, semuanya dilakukan secara telus. Jadi mengapa tiba-tiba keputusan berubah? Ini bukan soal kertas kerja semata-mata, tetapi melibatkan soal maruah dan integriti negara yang sedang bangkit. Saya percaya ada pihak tertentu yang tidak senang dengan kebangkitan Harimau Malaya,” ujarnya lagi.

Keputusan FIFA itu berhubung pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan isu pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain warisan Malaysia. Antara nama yang disenaraikan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Badan induk bola sepak dunia itu mendapati FAM mengemukakan dokumen tidak sah bagi membuktikan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Akibatnya, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 atau kira-kira RM1.8 juta. Selain itu, setiap pemain terbabit turut didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.

Liridon turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang disifatkan sebagai tonggak utama dalam usaha membangunkan bola sepak Malaysia. Katanya, kemajuan yang dicapai tidak akan berlaku tanpa visi dan kepimpinan baginda.

Namun, apa yang paling dikesali oleh Liridon ialah sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak bersatu ketika menghadapi cabaran getir seperti yang sedang berlaku kini.

“Sepatutnya, ini bukan waktu untuk berpecah. Inilah masanya rakyat Malaysia berdiri teguh bersama, sama ada pemain, penyokong, media mahupun kerajaan. Jika kita sendiri tidak mempertahankan maruah kita, siapa lagi yang akan lakukan?” tegasnya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat agar bersatu padu mempertahankan pasukan kebangsaan dan tidak tunduk kepada tekanan luar.

“Kepada rakyat Malaysia, inilah waktunya kita bersatu. Sokong pemain kita, sokong pasukan kita, sokong bendera kita. Kita tidak akan tunduk kepada ketidakadilan. Kita tidak akan biarkan tekanan luar menghentikan kebangkitan Malaysia. Kita lawan bersama, kerana kita Malaysia. Berani kerana benar,” jelas Liridon.