Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan tiga pemain utama Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dibenarkan beraksi dalam baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Keputusan itu dibuat selepas menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengesahkan tindakan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan media dikeluarkan, MFL menegaskan pemain terbabit ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Ketiga-tiga tonggak itu tidak lagi dibenarkan turun ke padang dalam mana-mana pertandingan Liga M sepanjang tempoh penggantungan seperti diputuskan FIFA pada Jumaat lalu.
“MFL hari ini mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada FAM mengenai keputusan penggantungan tujuh pemain warisan selama 12 bulan oleh FIFA. Berdasarkan keputusan tersebut, tiga pemain daripada kelab JDT iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan. Sebarang tindakan susulan hanya akan dibuat selepas keputusan rayuan FAM diumumkan FIFA,” kata kenyataan rasmi MFL.
Untuk rekod, ketiga-tiga pemain berkenaan merupakan tonggak penting skuad Harimau Selatan sejak awal musim ini. Kehadiran mereka menjadi taruhan besar JDT bukan sahaja dalam saingan domestik, malah dalam pentas antarabangsa membabitkan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC). Kehilangan mereka pastinya memberi kesan besar terhadap percaturan taktikal pasukan.
Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain terlibat dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen. Selain tiga pemain JDT, empat lagi yang terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FIFA menjelaskan, siasatan mendapati FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain untuk membolehkan mereka didaftarkan dan diturunkan dalam perlawanan rasmi. Tindakan ini dianggap melanggar integriti peraturan, sekali gus membawa hukuman gantung selama 12 bulan terhadap semua pemain terbabit.
Isu ini memberi tamparan hebat buat JDT yang sedang mendahului saingan Liga M. Tanpa kelibat Figueiredo, Irazabal dan Hevel, pasukan bimbingan Esteban Solari perlu mencari formula baharu untuk mengekalkan rentak kemenangan mereka. Situasi ini juga membuka peluang kepada pemain tempatan untuk menonjol bagi mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan.
Dalam perkembangan berkaitan, FAM sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA itu. Bagaimanapun, keputusan muktamad hanya akan diketahui selepas badan induk bola sepak dunia itu meneliti semula hujahan dikemukakan. Sehingga proses itu selesai, penggantungan kekal berkuat kuasa dan semua pemain terlibat tidak dibenarkan beraksi.
Pemerhati bola sepak tanah air menyifatkan isu ini sebagai pengajaran besar kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam pengurusan dokumen berkaitan kelayakan pemain. Ia bukan sahaja membabitkan reputasi FAM, malah memberi kesan langsung kepada kelab dan pemain yang menjadi mangsa keadaan.
Bagi penyokong JDT pula, pengumuman ini tentunya menimbulkan rasa kecewa kerana tiga pemain import tersebut sering menjadi watak penting dalam mencipta kemenangan. Namun, mereka tidak mempunyai pilihan selain menunggu perkembangan lanjut berhubung keputusan rayuan yang dikemukakan.