sukan

Dilarang Masuk campur

Kelab bola sepak Argentina, Atletico Velez Sarsfield, kini memberi perhatian penuh terhadap kes penggantungan pemain utama mereka, Imanol Machuca, yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab itu, keputusan tersebut dimaklumkan melalui Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dan memberi implikasi besar kepada perjalanan pasukan.

Dalam pengumuman rasmi, Velez menegaskan bahawa mereka tidak dibenarkan mencampuri urusan tatatertib FIFA serta tidak menjadi sebahagian daripada proses siasatan yang dijalankan. Namun, pihak pengurusan tetap komited untuk sentiasa berhubung dengan Machuca serta memberikan sokongan penuh kepada pemain berkenaan sepanjang proses ini.

Menerusi satu kenyataan rasmi kelab hari ini, menjelaskan kelabnya itu dilarang mencampuri urusan itu selain komited sentiasa berkomunikasi dan menyokong pemain itu.

“Kami menerima makluman bahawa Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah menjatuhkan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap pemain kami, Imanol Machuca. Oleh itu, sehingga notis baharu dikeluarkan, beliau tidak akan diturunkan dalam mana-mana perlawanan yang melibatkan kelab,” jelas kenyataan rasmi tersebut.

Pihak kelab turut menambah, mereka menghormati sepenuhnya keputusan berkenaan dan mengulangi pendirian bahawa Velez tidak mempunyai ruang untuk campur tangan dalam isu tatatertib antarabangsa itu. Walau begitu, hubungan rapat bersama pemain sentiasa dikekalkan agar Machuca tidak keseorangan menghadapi situasi mencabar ini.

Kes ini timbul selepas FIFA melaksanakan siasatan berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain warisan negara, termasuk Machuca. Hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), yang akhirnya membawa kepada tindakan penggantungan ke atas pemain tersebut.

Buat masa ini, kes berkenaan masih dalam proses rayuan. Machuca bersama pemain lain yang terlibat berharap keputusan dapat dikaji semula agar peluang untuk kembali ke padang dapat dipercepatkan. Situasi ini sekali gus menjadi cabaran besar kepada Velez yang terpaksa mengatur strategi tanpa kehadiran salah seorang tonggak mereka.

Dengan penggantungan setahun ini, Machuca bukan sahaja akan terlepas sebahagian besar musim liga tetapi juga memberi kesan besar kepada prestasi keseluruhan pasukan. Bagi kelab, sokongan moral dan komunikasi berterusan dengan pemain dianggap penting bagi memastikan semangat pasukan tidak luntur meskipun berdepan ujian getir.