Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, terus mencuri tumpuan dalam arena badminton dunia apabila melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Masters China. Perlawanan akhir yang bakal berlangsung hari ini dijangka penuh debaran apabila mereka dijadualkan menentang gandingan handalan dari Thailand, Dechapol Puacaranukroh-Supissara Paewsampran yang kini menghuni ranking keempat dunia.
Sejak kejohanan ini mula diperkenalkan pada tahun 2005, rekod menunjukkan belum ada pasangan luar yang berjaya meraih gelaran. Final saban tahun dikuasai pasangan tuan rumah apabila sesama beregu China yang sering bertemu di pentas penentu juara. Justeru, peluang yang dimiliki Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kali ini bukan sahaja membuka ruang menamatkan penantian peribadi mereka, malah mencabar dominasi tradisi negara tuan rumah dalam kejohanan tersebut.
Tang Jie dan Ee Wei baru sahaja mencatat sejarah manis apabila dinobatkan sebagai juara dunia pada 31 Ogos lalu. Namun begitu, dalam siri Jelajah Dunia BWF musim ini, mereka masih belum mengesahkan sebarang kejuaraan. Justeru, peluang di Masters China dianggap sebagai pentas terbaik untuk menebus kekecewaan itu.
Aksi separuh akhir semalam memperlihatkan keupayaan pasangan Malaysia ini mengatasi halangan besar apabila menumbangkan beregu nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. Pertarungan sengit yang berlangsung tiga set itu menyaksikan mereka menang dengan keputusan 22-24, 21-19, 21-17. Kejayaan tersebut melayakkan mereka ke perlawanan akhir dan sekali gus menyalakan semula impian untuk menambah koleksi gelaran.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pernah menjuarai Masters Orleans 2023, Terbuka Taiwan 2023 serta Terbuka Korea 2024. Rekod tersebut jelas membuktikan kemampuan mereka mengharungi perlawanan berprofil tinggi. Namun begitu, lawan dari Thailand tidak boleh dipandang ringan.
Dechapol-Supissara turut menampilkan prestasi meyakinkan apabila mengejutkan pilihan utama kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin. Mereka menutup aksi separuh akhir dengan kemenangan 21-17, 22-20. Tambahan pula, rekod pertemuan kedua-dua pasangan memihak kepada beregu Thailand dengan kelebihan 3-1.
Dalam empat pertemuan sebelum ini, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya sekali berjaya mencatat kemenangan, iaitu di pusingan kedua Terbuka India 2025. Pertarungan itu berlangsung penuh dramatik sebelum pasangan Malaysia menang 19-21, 21-12, 22-20 dalam tempoh sejam lima minit. Sebaliknya, tiga lagi pertemuan berakhir dengan keunggulan Dechapol-Supissara, termasuk di Masters Jepun 2024, Masters Indonesia 2025 (Januari) dan separuh akhir Terbuka Indonesia 2025 pada Jun lalu.
Perlawanan akhir hari ini bukan sahaja bakal menguji keupayaan teknikal serta ketahanan mental kedua-dua pasangan, malah menjadi pentas penentu sama ada sejarah mampu diubah. Sekiranya berjaya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bukan sahaja akan meraih kejuaraan pertama Jelajah Dunia musim ini, malah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu pasangan campuran terbaik dunia.
SIARAN LANGSUNG (LIVE STREAMING) AKHIR KEJOHANAN BADMINTON MASTERS CHINA 2025
Tarikh: 21 September 2025
Saluran: Astro Badminton (815)
Venue: Shenzhen Arena
Masa: Jangkaan bermula 1 petang ini
Anda juga boleh strim menerusi Astro Go atau Sooka dan maklumat terkini di Stadium Astro!