Pengendali skuad kebangsaan Palestin, Ihab Abujazar, menegaskan kekalahan tipis 0-1 kepada Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam semalam bukan berpunca daripada ketiadaan tonggak utama pasukan.
Jurulatih itu menolak anggapan bahawa absennya beberapa pemain berpengaruh seperti Musab Al Battat, Assad Al Hamlawi, Mohammed Saleh, Ameed Mahajna, Ameed Sawafta dan Agustin Manzur menjadi sebab kelemahan skuad bimbingannya. Kesemua mereka masih dalam proses pemulihan kecederaan.
Menurut Ihab, Palestin telah beraksi tanpa beberapa nama tersebut dalam beberapa perlawanan terdahulu, dan ketiadaan mereka tidak menjejaskan perancangan serta persiapan menjelang perlawanan di Johor Bahru.
“Persiapan pasukan tidak terjejas walaupun tanpa mereka. Ini kerana dalam beberapa perlawanan sebelum ini juga kami bermain dengan skuad yang hampir sama. Saya melihat pemain yang diturunkan sudah melaksanakan tugas dengan baik,” katanya selepas perlawanan.
Jurulatih itu turut menyampaikan penghargaan kepada skuad kendalian Peter Cklamovski yang menurutnya menampilkan peningkatan ketara. Beliau mengakui Malaysia kini berada dalam kelompok pasukan yang semakin dihormati di pentas antarabangsa.
“Tahniah buat pasukan Malaysia yang saya lihat semakin menunjukkan peningkatan prestasi. Mereka kini menjadi antara pasukan yang kuat di rantau ini,” ujar Ihab.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa kehadiran ramai pemain warisan serta naturalisasi dalam skuad Malaysia menjadi faktor kemenangan Harimau Malaya. Katanya, itu adalah fenomena biasa dalam bola sepak moden.
“Mereka semua adalah pemain Malaysia. Kehadiran mereka tidak ada kaitan dengan keputusan perlawanan. Di banyak negara lain pun, penggunaan pemain naturalisasi dan warisan sudah menjadi kebiasaan untuk memperkukuh pasukan,” jelasnya lagi.
Ihab menambah, meskipun pasukannya tewas, beliau tetap memuji semangat juang anak buahnya yang menurutnya berjaya memberi tekanan hebat kepada Harimau Malaya pada 20 minit terakhir perlawanan.
“Kredit buat pemain saya kerana pada penghujung perlawanan mereka berusaha keras dan berjaya mengasak pertahanan Malaysia. Namun malang sekali kami gagal menyempurnakan peluang yang dicipta,” katanya.
Perlawanan persahabatan di Johor Bahru itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan cuba mencari jaringan. Gol tunggal Malaysia sudah cukup untuk memastikan kemenangan, sekali gus memberi keyakinan kepada skuad kebangsaan menjelang aksi kompetitif akan datang.