Harimau Malaya akhirnya menamatkan penantian panjang selama 24 tahun untuk menewaskan Palestin apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. Gol tunggal perlawanan hadir seawal minit ketiga menerusi penyudah penyerang naturalisasi, Joao Figueiredo.
Jaringan awal itu menjadi penentu keputusan sekaligus menebus kekecewaan lalu, selepas Malaysia pernah dimalukan Palestin 0-6 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Asia 2019 di Jordan pada 2015. Kali terakhir skuad kebangsaan menewaskan Palestin adalah pada Mac 2001, ketika menang 4-3 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
Menariknya, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, dilihat menggunakan perlawanan ini untuk melakukan eksperimen. Beberapa tonggak utama seperti Jon Irazabal, Stuart Wilkin, Endrick Dos Santos dan Corbin Ong diletakkan di bangku simpanan pada awal permainan. Sebaliknya, beliau menurunkan barisan pemain tempatan di bahagian pertahanan termasuk Shahrul Saad, Harith Haiqal Adam Afkar, Dominic Tan dan Quentin Cheng.
Percaturan itu membuahkan hasil pantas. Pada minit ketiga, hantaran lintang Quentin disempurnakan Figueiredo untuk meletakkan Malaysia di depan. Palestin cuba bangkit melalui gerakan tersusun, namun benteng Malaysia ampuh mengekang percubaan lawan.
Malaysia terus mengasak dan hampir menambah jaringan pada minit ke-22. Rembatan jarak jauh Shahrul dari luar kotak penalti memaksa penjaga gol Palestin, Rami, melompat menyelamatkan keadaan. Tidak lama kemudian, Palestin hampir menyamakan kedudukan apabila percubaan deras Bader Mousa berjaya ditepis kemas oleh penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Arif Aiman yang mencetus gerakan gol pertama turut hampir mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-27, namun percubaannya terlalu lemah dan mudah ditangkap Rami. Begitu juga pada minit ke-35 apabila Gabriel Palmero melepaskan rembatan kencang tetapi sekali lagi Rami cemerlang menafikan peluang itu. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Bermula separuh masa kedua, Cklamovski memasukkan Corbin menggantikan Dominic bagi memperkukuh barisan pertahanan. Palestin mula tampil lebih agresif, tetapi Malaysia tetap mengawal rentak permainan. Beberapa peluang dicipta Palmero dan Rodrigo Holgado, namun penyudah tumpul menyebabkan jaringan tambahan tidak kunjung tiba.
Sepanjang 20 minit terakhir, Palestin banyak menguasai permainan selepas Malaysia memilih memperlahankan tempo. Walaupun diasak, skuad negara tetap kental mempertahankan kelebihan.
Detik yang ditunggu penyokong akhirnya tiba pada minit ke-79 apabila pemain warisan dari Scotland, Richard Chin, membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya. Beliau menggantikan Quentin dan menerima sorakan gemuruh penyokong di stadium.
Sehingga wisel penamat, gol Figueiredo terus menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan. Kemenangan ini bukan sahaja mengakhiri rekod tanpa kemenangan panjang, malah memberi suntikan moral kepada skuad bimbingan Cklamovski menjelang aksi kompetitif mendatang.