Komen tanpa berselindung El Jamari selepas tumbang di tangan Jojo

PETARUNG muda sensasi Malaysia, Johan “Jojo” Ghazali sekali lagi mencuri perhatian dunia muaythai selepas mencatat kemenangan bergaya menewaskan wakil Maghribi, Zakaria El Jamari dalam aksi ONE Fight Night 35 yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, kelmarin.

Kemenangan ini menjadi titik kebangkitan semula buat Jojo yang berusia 18 tahun selepas melalui dua kekalahan berturut-turut sebelum ini. Lebih manis, dia berjaya menundukkan lawannya dengan penuh bergaya apabila menamatkan pertarungan hanya dalam pusingan pertama.

Zakaria El Jamari, petarung berusia 35 tahun, sendiri mengakui kekuatan dan kehebatan Jojo selepas tewas menerusi keputusan ‘technical knockout’ (TKO) ketika baki masa pusingan pertama berbaki 60 saat.

“Ya, dia seorang juara,” kata El Jamari ringkas kepada wartawan sejurus tamat pertarungan tersebut. Beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertemu Jojo dalam aksi ulangan sekiranya ONE Championship merancang pertemuan sedemikian. “Jika ONE Championship perlukan, saya sentiasa bersedia,” tambahnya.

Dalam aksi semalam, Jojo tampil agresif sejak loceng pertama dibunyikan. Dia melancarkan serangan bertubi-tubi yang memaksa El Jamari berada dalam tekanan berterusan. Walaupun cuba menahan asakan, pengalaman lawan tidak cukup untuk mengekang kepantasan serta ketepatan pukulan Jojo.

Keputusan ini sekaligus meningkatkan rekod profesional Jojo kepada tujuh kemenangan daripada 10 pertarungan, dengan tiga daripadanya berakhir dengan kekalahan. Kemenangan tersebut juga amat bermakna kerana ia menamatkan kemarau tanpa kemenangan selepas kali terakhir menundukkan petarung Mexico, Josue Cruz, menerusi knockout (KO) dalam ONE 168 di Denver, Amerika Syarikat pada 7 September tahun lalu.

Sebelum ini, Jojo tewas kepada dua petarung handalan Colombia, Diego Paez dan Johan Estupinan, yang sedikit sebanyak menjejaskan momentumnya. Namun, kemenangan ke atas El Jamari memberi semangat baharu buat dirinya untuk kembali membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Kejayaan ini juga memberi isyarat jelas bahawa Jojo, meskipun masih muda, mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai antara bintang muaythai paling digeruni. Dengan usia baru mencecah 18 tahun, perjalanan kariernya masih panjang dan penuh ruang untuk menambah pengalaman serta kejayaan.

Bagi peminat seni bela diri tempatan, kemenangan Jojo semalam tentunya menjadi kebanggaan. Ia membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan petarung yang berdaya saing di peringkat global.

Pertarungan di Bangkok itu menjadi bukti bahawa bakat muda negara tidak boleh dipandang ringan, malah berupaya menumbangkan lawan yang lebih berusia dan berpengalaman.

Jojo kini dilihat berada di landasan tepat untuk mengembalikan rentak kemenangan. Jika prestasi ini berterusan, tidak mustahil dia bakal melonjakkan nama Malaysia lebih jauh dalam arena muaythai profesional.