Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain, menegaskan bahawa hanya kemenangan menentang Thailand mampu membuka jalan buat Harimau Muda mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-23.
Selepas mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas Mongolia pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand, pada Sabtu lalu, Nafuzi tetap mengingatkan bahawa misi pasukan masih jauh daripada selesai.
Beliau menekankan bahawa kejayaan tersebut hanyalah sebahagian daripada perjalanan dan perlawanan menentang Thailand bakal menjadi penentu utama buat skuad muda negara.
“Alhamdulillah, hari ini kita berjaya meraih tiga mata yang amat penting selepas kekalahan kepada Lubnan sebelum ini. Pemain bangkit dengan semangat luar biasa dan keputusan 7-0 ini adalah kemenangan besar serta sangat berharga. Tetapi kita perlu ingat, hanya ada satu jalan untuk kita mara, iaitu menewaskan Thailand dalam perlawanan terakhir,” kata Nafuzi selepas perlawanan.
Jurulatih itu mengakui bahawa Thailand merupakan lawan yang memiliki kualiti lebih baik. Namun, beliau percaya dalam bola sepak tiada yang mustahil selagi pasukan berusaha dan yakin dengan kemampuan sendiri.
“Kita tahu kelebihan yang ada pada Thailand, tetapi bola sepak penuh dengan kemungkinan. Yang penting kita berusaha dan yakin dengan keupayaan sendiri,” tambahnya.
Menurut Nafuzi, kemenangan besar menentang Mongolia memberi suntikan moral yang amat diperlukan pasukan selepas kekalahan terdahulu. Beliau yakin pemain kini lebih bersemangat dan bersedia menghadapi perlawanan getir menentang tuan rumah.
“Selepas kemenangan ini, kepercayaan pemain pasti meningkat. Namun kita tidak boleh leka. Fokus penuh diperlukan untuk menghadapi cabaran seterusnya dan persiapan terbaik mesti dilakukan,” jelasnya.
Mengulas tentang perubahan prestasi selepas tewas kepada Lubnan, Nafuzi berkata motivasi dan keyakinan menjadi faktor utama yang membantu skuad negara tampil lebih baik.
“Kita sebenarnya mengekalkan barisan pemain yang sama. Cuma pendekatan berbeza diberi dari segi moral dan motivasi. Apa yang penting ialah kita berjaya memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Apabila ditanya sama ada situasi kali ini hampir menyerupai saingan Piala ASEAN di Jakarta, di mana pasukan turut tewas pada perlawanan pertama sebelum berdepan lawan sukar di aksi terakhir, Nafuzi menegaskan bahawa pasukan sudah belajar daripada pengalaman lalu.
“Memang ada persamaan dalam skrip perlawanan, tetapi saya percaya dengan usaha, kerja keras dan keyakinan, insya-ALLAH ada rezeki untuk kita. Paling utama, pemain harus terus berusaha,” ujarnya dengan penuh keyakinan.
Kini, semua tumpuan terarah kepada perlawanan menentang Thailand yang dianggap sebagai penentu nasib Harimau Muda dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23 kali ini. Kemenangan ke atas Mongolia sememangnya memberi kelegaan, namun hakikatnya tugasan paling mencabar masih menanti.