TERKINI : Malaysia ‘mengamuk’ ratah Taiwan

Skuad hoki wanita negara kembali bangkit dengan penuh bergaya apabila melakar kemenangan besar 11-1 ke atas Taiwan dalam aksi Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita yang berlangsung di Gongshu Canal Sports Park Stadium, Hangzhou, China. Kejayaan ini hadir selepas mereka tewas dalam perlawanan pembukaan, sekali gus meniupkan semangat baharu untuk saingan seterusnya.

Anak-anak buah bimbingan jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan. Hanya dua minit perlawanan berlangsung, penyerang muda berbakat, Nur Afiqah Syahzani Azhar, terlebih dahulu membuka jaringan. Tidak menunggu lama, giliran Nuramirah Shakirah Zulkifli menyusul dengan gol kedua pada minit ketiga.

Kegagahan Malaysia di suku pertama semakin jelas apabila Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menambah gol ketiga pada minit kelapan, diikuti jaringan kapten berpengalaman, Hanis Nadiah Onn pada minit ke-14. Tamat suku pertama, Malaysia mendahului selesa 4-0 dan menekan Taiwan dari segenap penjuru padang.

Di suku kedua, skuad negara tidak memperlahankan rentak. Nuramirah sekali lagi mencetak nama di papan skor menerusi gol padang pada minit ke-16. Kemudian, pukulan sudut penalti dimanfaatkan sepenuhnya oleh Shafika Mahd Sukri pada minit ke-21, diikuti jaringan kedua Nur Afiqah pada minit ke-23. Keputusan separuh masa pertama menyaksikan Malaysia mendahului 7-0, satu angka yang menonjolkan dominasi mutlak mereka.

Babak kedua memperlihatkan keazaman Malaysia untuk terus menambah jaringan. Khairunnisa Ayuni menjaringkan gol keduanya pada minit ke-32, disusuli Siti Nur Arfah Mohd Nor yang menyumbang dua gol penting pada minit ke-36 dan 56. Gol terakhir perlawanan dihasilkan pada minit ke-60 menerusi sentuhan berkesan Nur Afiqah yang melengkapkan hatrik peribadi.

Satu-satunya gol saguhati Taiwan hadir pada minit ke-59 melalui pukulan penalti strok yang disempurnakan oleh Huang Yu-Ting. Namun, ia sekadar pengubat lara kerana kemenangan mutlak berpihak kepada Malaysia dengan keputusan muktamad 11-1.

Jurulatih, Mohd Nasihin, melahirkan rasa syukur atas kebangkitan pasukan selepas kekalahan awal. “Alhamdulillah kita dapat menang hari ini, satu keputusan yang bagus untuk dibawa ke perlawanan seterusnya. Saya pasti kemenangan besar ini akan memberi pemain lebih keyakinan untuk menentang Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan A esok,” katanya menerusi video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Kemenangan besar ini bukan sahaja meningkatkan semangat pemain, malah memberi mesej jelas bahawa skuad hoki wanita Malaysia masih memiliki kemampuan bersaing di pentas Asia. Fokus kini tertumpu kepada pertembungan getir menentang Korea Selatan yang dijangka menentukan hala tuju kemaraan pasukan ke peringkat seterusnya.