sukan

TERKINI : Keputusan aksi Malaysia berdepan Korea Selatan

Hasrat skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers, untuk melangkah ke pentas final Piala Asia buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas tewas 3-4 kepada Korea Selatan dalam aksi ketiga pusingan Super 4 di Rajgir, India, sebentar tadi. Kekalahan itu sekali gus memadam peluang Malaysia meneruskan rekod mara ke final yang sebelum ini menjadi kebanggaan pasukan.

Perlawanan bermula dengan penuh semangat apabila Malaysia tampil garang sejak wisel pembukaan. Usaha awal itu membuahkan hasil apabila Fitri Saari berjaya membuka tirai jaringan pada minit kesembilan melalui gol padang yang cukup kemas. Jaringan itu memberikan keyakinan awal buat pasukan bimbingan Sarjit Singh untuk terus mengasak kubu lawan. Namun, Korea yang terkenal dengan disiplin taktikal tidak mudah mengalah. Mereka kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-24 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Kim Hyeonhong.

Tidak lama selepas itu, sebelum tamat separuh masa pertama, Malaysia sekali lagi berada di hadapan. Kali ini giliran Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang memanfaatkan peluang terhidang untuk meletakkan Malaysia kembali di depan dengan kedudukan 2-1. Gol itu menjadi suntikan moral besar buat skuad negara menuju bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, anak buah Sarjit Singh terus menekan lawan. Pakar pukulan sudut penalti negara, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, menambah jaringan pada minit ke-31 untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 3-1. Namun, keghairahan menyerang membuatkan benteng pertahanan sedikit longgar. Korea pantas menghukum kelekaan itu apabila Oh Seyong merapatkan kedudukan menerusi serangan balas kilat pada minit ke-44.

Situasi bertambah rumit apabila Malaysia terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain. Korea memanfaatkan keadaan itu sebaik mungkin dengan menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-50 dan ke-51. Lee Jungjun dan sekali lagi Kim Hyeonhong menjadi penyumbang gol untuk membolehkan Korea mendahului 4-3. Momentum yang dimiliki Korea nyata membunuh rentak permainan Speedy Tigers.

Meskipun Malaysia tidak berputus asa dan terus melancarkan serangan demi serangan, termasuk menggunakan strategi ‘power play’, peluang yang terhidang tidak dapat disempurnakan. Tiga pukulan sudut penalti yang dimiliki gagal diterjemahkan kepada jaringan, sekaligus menutup ruang kebangkitan.

Sebagai imbasan, Malaysia sebelum ini pernah bertemu Korea di peringkat kumpulan B. Dalam perlawanan tersebut, Speedy Tigers mudah menundukkan lawan dengan keputusan 4-1. Namun, kali ini skrip berbeza tercipta apabila Korea tampil lebih bersedia dan menghukum kesilapan yang dilakukan pasukan negara. Kekalahan ini menjadi tamparan buat skuad negara yang meletakkan harapan besar untuk mara ke pentas final.

Secara keseluruhannya, Malaysia mempamerkan permainan bertenaga terutama pada separuh masa pertama, tetapi kelekaan di saat genting memberi ruang kepada Korea untuk bangkit. Perlawanan ini membuktikan bahawa di peringkat tinggi seperti Piala Asia, setiap kesilapan kecil pasti membawa padah.