Malam penuh sorakan selepas menewaskan Singapura 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil kini bertukar menjadi medan cabaran lebih getir buat Harimau Malaya. Selepas kemenangan itu, skuad negara berdepan Palestin dalam aksi persahabatan kedua pada Isnin, namun kali ini dengan situasi yang jauh lebih mencabar.
Dua tonggak pertahanan, Dion Cools dan Facundo Garces, terpaksa kembali ke kelab masing-masing menjelang pertembungan menentang Palestin yang kini berada di ranking ke-98 dunia. Ketiadaan mereka memberi kesan besar kerana kedua-duanya sebelum ini menjadi ‘perisai kebal’ di benteng Harimau Malaya.
Garces dipanggil pulang ke Sepanyol untuk menyertai kelab La Liga, Alaves, bagi menghadapi perlawanan menentang Athletic Bilbao. Sementara itu, Cools pula perlu menunaikan tanggungjawab bersama kelab Jepun, Cerezo Osaka. Dua nama berpengalaman ini telah menjadi taruhan utama Peter Cklamovski ketika bertemu Singapura, dan kehilangan mereka jelas dianggap satu tamparan yang besar.
Namun, jurulatih dari Australia itu tidak menampakkan keresahan. Sebaliknya, beliau melihat keadaan ini sebagai peluang berharga untuk pemain lain membuktikan kemampuan masing-masing. “Siapa pun yang bermain, kami tetap bersatu dengan corak permainan kami. Menentang Palestin akan membawa gaya berbeza, dan itu satu cabaran baik untuk kami. Saya menantikannya kerana ia ujian terbaik untuk terus berkembang,” katanya selepas perlawanan.
Cklamovski turut menjelaskan bahawa fokus utama ketika ini adalah menilai prestasi keseluruhan pasukan sebelum membuat keputusan sama ada mahu memanggil pemain tambahan dari senarai bersedia. “Kami akan analisis perlawanan dan teliti keperluan pasukan. Keputusan sama ada panggil pemain baharu akan dibuat dalam tempoh 24 jam akan datang, tetapi buat masa ini tiada perubahan,” tegasnya.
Dalam perlawanan menentang Singapura, Malaysia mendahului menerusi jaringan Stuart Wilkin pada minit ke-26. Joao Figueiredo kemudian menambah gol kedua pada minit ke-56. Singapura cuba bangkit apabila Ilhan Fandi merapatkan kedudukan pada minit ke-73, namun tidak mampu mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat.
Skuad negara juga tidak menurunkan tonggak tengah, Hector Hevel, akibat kecederaan. Tugas itu digalas oleh Nooa Laine dan Nazmi Faiz Mansor yang berusaha mengawal bahagian tengah. Walaupun begitu, Cklamovski menolak untuk menjadikan ketiadaan pemain utama sebagai alasan. “Pasukan ini dibina atas semangat kolektif, bukan individu. Ia bukan tentang seorang pemain sahaja, tetapi tentang kerjasama semua,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa perlawanan menentang Singapura banyak memberikan pengajaran berharga. “Kami mencipta banyak peluang dan seharusnya menjaringkan lebih banyak gol. Dari sini, kami akan ambil perkara positif untuk memperkemas pasukan,” katanya.