Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya mengambil langkah tegas dengan memecat Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebagai ahli gabungan, berkuat kuasa serta-merta. Keputusan itu diumumkan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam sidang media selepas mesyuarat keempat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.
Mohd Yusoff menjelaskan, tindakan ini diambil selepas PFA gagal menggunakan tempoh enam bulan yang diberikan untuk menyelesaikan masalah dalaman. Katanya, peluang itu sepatutnya dijadikan ruang membuktikan keupayaan menguruskan persatuan dengan lebih baik, namun tidak dimanfaatkan.
“Pertamanya, FAM hari ini buat keputusan untuk memecat Persatuan Bolasepak Perlis sebagai ahli gabungan berkuat kuasa serta-merta. Enam bulan sudah diberikan untuk menyelesaikan isu yang dihadapi, tetapi ia berakhir tanpa hasil,” ujarnya.
Sejak beberapa tahun lalu, PFA berdepan masalah serius melibatkan pengurusan serta kewangan. Keanggotaan persatuan itu dalam FAM kini tamat selepas kegagalan berulang untuk memulihkan keadaan. FAM menegaskan tiada lagi pilihan selain mengambil keputusan yang dianggap wajar demi menjaga kredibiliti badan induk bola sepak negara.
Bagaimanapun, Yusoff turut memberi jaminan bahawa keputusan tersebut tidak akan menjejaskan pasukan dari Perlis yang menyertai saingan liga tempatan. Menurutnya, kelulusan penyertaan pasukan itu tidak bergantung kepada PFA kerana sejak 2019 lagi persatuan tersebut telah digantung.
“Dari segi pertandingan, pasukan yang mewakili Perlis tidak akan terkesan kerana sebelum ini pun mereka tidak bergantung kepada kelulusan PFA,” katanya.
Rekod menunjukkan PFA digantung FAM pada 4 Disember tahun lalu kerana gagal melunaskan gaji tertunggak dan pampasan kepada bekas pengarah bola sepaknya, Matt Holland, berjumlah lebih RM998,000. FIFA telah mengarahkan pembayaran tersebut, dan kegagalan PFA menunaikan tanggungjawab itu memaksa FAM bertindak.
Langkah penggantungan itu penting bagi memastikan FAM tidak berdepan tindakan lanjut daripada FIFA. Sekatan peruntukan FIFA Forward boleh dikenakan sekiranya PFA terus mengingkari arahan badan bola sepak dunia tersebut.
Pemecatan PFA menjadi penamat kepada episod panjang yang membelenggu persatuan itu sejak sekian lama. Keputusan ini dijangka memberi mesej jelas bahawa FAM tidak akan berkompromi dengan mana-mana ahli gabungan yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka.