Singapura ‘lauk’ Malaysia

Kemenangan 4-0 Harimau Malaya ke atas Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, tiga bulan lalu, masih menjadi buah mulut penyokong bola sepak tanah air. Kemenangan besar itu bukan sahaja memberi semangat baharu kepada pasukan negara, malah terus membakar harapan penyokong agar skuad bimbingan Peter Cklamovski mampu mengulangi rentak cemerlang itu.

Malam ini, gelanggang keramat Bukit Jalil sekali lagi menjadi saksi apabila Malaysia akan menerima kunjungan pasukan jiran, Singapura, untuk aksi persahabatan Tier 1. Perlawanan ini menggantikan penyertaan Malaysia dalam Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 selepas skuad negara menarik diri daripada kejohanan tersebut.

Pertembungan Malaysia dan Singapura mungkin tidak sehebat pertemuan “Derbi Serumpun” menentang Indonesia, namun ia tetap sarat dengan sejarah dan persaingan lama. Kedua-dua pasukan mempunyai rekod perlawanan yang panjang sejak era bola sepak Asia Tenggara, menjadikan perlawanan ini penuh makna walaupun hanya perlawanan persahabatan.

Dari segi ranking dunia, Malaysia kini berada di tangga ke-125, jauh di hadapan Singapura yang menduduki ranking ke-159. Namun, kedudukan itu tidak boleh dijadikan ukuran tepat kerana rekod pertemuan membuktikan segalanya boleh berlaku. Kali terakhir skuad negara tewas kepada Singapura ialah pada 26 Mac 2022, apabila mereka tunduk 1-2. Namun, selepas itu Malaysia bangkit dengan kemenangan 4-1 sebelum kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada pertemuan berikutnya.

Momentum skuad negara pada tahun ini juga cukup baik. Harimau Malaya belum pernah tewas dalam tiga perlawanan antarabangsa rasmi sepanjang 2025, kecuali kekalahan 0-3 dalam aksi tertutup menentang Cape Verde pada bulan Jun. Kestabilan prestasi ini memberi keyakinan tambahan buat pasukan bimbingan Cklamovski untuk terus mengekalkan rentak positif.

Singapura pula tidak datang dengan tangan kosong. Pasukan itu hadir dengan rekod dua kemenangan dan satu seri daripada tiga aksi terakhir mereka. Rekod positif itu menunjukkan bahawa Singapura juga mahu membuktikan kemampuan mereka, sekaligus memberi cabaran yang bukan mudah buat Harimau Malaya di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.

Bagi Malaysia, perlawanan ini bukan sekadar peluang untuk mengutip mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Lebih penting, ia adalah ujian untuk menilai sejauh mana pasukan mampu mengekalkan konsistensi selepas kemenangan besar ke atas Vietnam. Kejayaan lalu telah menaikkan harapan penyokong, dan kini mereka mahu melihat pasukan terus menampilkan corak permainan berkualiti.

Cklamovski kini berdepan cabaran besar untuk mengekalkan standard yang sudah ditetapkan. Kemenangan 4-0 sebelum ini dianggap sebagai hidangan mewah buat peminat bola sepak negara. Maka, tidak hairanlah penyokong kini menuntut “hidangan fine dining” yang sama setiap kali skuad kebangsaan turun ke padang. Kekurangan prestasi, walaupun tipis, mungkin dianggap mengecewakan bagi mereka.

Aksi menentang Singapura ini menjadi medan penting untuk membuktikan bahawa skuad negara bukan sekadar “one hit wonder”. Mereka perlu konsisten dan terus membuktikan bahawa Harimau Malaya kini berada pada landasan betul dalam misi ke Piala Asia 2027. Hanya kemenangan akan mampu mengekalkan keyakinan penyokong, yang kini meletakkan harapan tinggi terhadap perjalanan pasukan kebangsaan.
Aksi Persahabatan Antarabangsa

Hari Ini

Malaysia mln Singapura
(Std Nasional Bukit Jalil, 9 mlm)

Ranking
Malaysia: 125
Singapura: 159

Rekod pertemuan Malaysia menentang Singapura

● 20 Disember 2024: Malaysia 0-0 Singapura (Kejuaraan AFF)
● 3 Jan 2023: Malaysia 4-1 Singapura (Kejuaraan AFF)
● 26 Mac 2022: Singapura 2-1 Malaysia (Persahabatan)
● 20 Mac 2019: Malaysia 0-1 Singapura (Piala Airmarine)
● 7 Oktober 2016: Singapura 0-0 Malaysia (Persahabatan)
● 29 November 2014: Singapura 1-3 Malaysia (Kejuaraan AFF)