sukan

Kejayaan Juara Dunia Tang Jie–Ee Wei tamat

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei terus menjadi tumpuan dunia selepas mencipta kejayaan bersejarah di Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Perancis pada Ahad lalu. Kemenangan ini dianggap satu mercu tanda baharu dalam arena badminton negara apabila mereka berjaya muncul juara dunia, sekali gus mengulangi pencapaian beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang melakar kegemilangan pada edisi 2022 di Tokyo, Jepun.

Walaupun kejayaan ini diraikan dengan penuh bangga, penganalisis sukan Mohd Sadek Mustafa mengingatkan pasangan muda ini agar tidak terbuai dengan kejayaan awal. Menurut beliau, kejohanan dunia hanyalah salah satu daripada langkah penting ke arah misi yang lebih besar iaitu memburu pingat emas Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Perjalanan ke LA28 masih panjang. Sekurang-kurangnya lapan pasangan muda dari negara utama seperti China, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Denmark, Indonesia dan India sudah menanti untuk mencabar mereka. Jadi, mereka perlu lebih fokus dan konsisten,” jelas beliau.

Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM menekankan bahawa strategi terbaik buat masa ini adalah mengekalkan momentum kemenangan, memperbaiki kedudukan ranking dunia serta memastikan pasangan ini bebas daripada sebarang kecederaan serius. Katanya, faktor-faktor tersebut penting untuk mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam kumpulan maut ketika undian kejohanan besar.

Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin dengan keputusan 21-15, 21-14 di Arena Adidas membuktikan kematangan corak permainan pasangan negara itu. “Dalam perlawanan akhir, lawan mereka hilang fokus, sementara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berjaya mengawal gelanggang dengan strategi drive serta permainan jaring yang konsisten. Mereka juga kurang melakukan kesilapan mudah, itulah kunci kemenangan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Sadek menegaskan bahawa selepas kejayaan besar ini, pasangan negara akan menjadi perhatian utama lawan. Setiap kelemahan mereka akan dianalisis secara mendalam. “Kini mereka sudah berada dalam senarai ‘beregu yang wajib ditewaskan’. Setiap perlawanan selepas ini akan lebih sukar kerana semua pasukan sudah mula mengkaji corak permainan mereka. Bulan madu sudah berakhir, cabaran lebih besar sedang menanti,” ujarnya lagi.

Dengan kejayaan di Paris, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei kini dilihat sebagai simbol harapan baharu sukan badminton Malaysia. Namun, mereka masih perlu bekerja keras dalam tempoh dua tahun mendatang sebelum melangkah ke pentas Olimpik. Momentum yang dimiliki perlu dipertahankan dengan latihan intensif, persiapan mental yang kukuh dan strategi yang lebih tajam agar mampu mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi.