“Ya, saya pun pernah marah juga.” Demikian pengakuan jujur ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris selepas kejayaan bersejarah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Nova mendedahkan, sepanjang tempoh membimbing pasangan yang kini berada di ranking keempat dunia itu, pelbagai cabaran dan masalah timbul. Antara isu terbesar ialah komunikasi serta sikap, sesuatu yang kadangkala menguji kesabaran beliau sebagai jurulatih. Namun, Nova menegaskan tugas seorang pembimbing adalah memberi sokongan berterusan, bukan sekadar menegur.
Menurutnya, hampir setiap kejohanan ada sahaja masalah yang perlu diselesaikan. “Sebagai jurulatih kita kena sabar, tetapi sebenarnya saya pun pernah marah juga. Itu lumrah. Namun saya tetap memberi dorongan kerana yang penting mereka tidak hanyut selepas kalah,” jelasnya.
Nova berkata, pengalaman itulah yang membuatkan Tang Jie dan Ee Wei akhirnya bersyukur kerana meskipun pernah ditegur keras, beliau tidak pernah meninggalkan mereka sendirian. Jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu menekankan bahawa elemen psikologi sangat penting dalam membina sebuah gandingan yang konsisten.
Antara kelemahan ketara pasangan tersebut, tambah Nova, ialah sukar menerima kekalahan. Situasi itu lebih dirasai oleh Toh Ee Wei yang kerap tertekan apabila prestasinya tidak menepati sasaran. “Kadang-kadang mereka tidak boleh menerima kekalahan, rasa mesti cemerlang setiap masa. Itu yang buat mereka susah untuk bangkit. Saya selalu ingatkan, kalah itu biasa, yang penting teruskan latihan dan jangan terlalu dibayangi kegagalan,” katanya lagi.
Perjalanan pasangan ini tidak mudah. Pada April lalu, mereka pernah membuat keputusan berpisah sementara kerana prestasi tidak menentu. Namun, langkah kembali bergandingan ternyata tepat apabila komunikasi diperbaiki, ego diketepikan, dan mereka tampil lebih matang di pentas antarabangsa.
Nova menegaskan, faktor komunikasi dan keserasian karakter adalah kunci utama kejayaan. “Ramai pasangan lain mempunyai kemahiran, tetapi jika komunikasi dan karakter tidak selari, mereka sukar jadi juara. Di Paris, mereka menunjukkan ketenangan, keyakinan dan komunikasi yang sangat baik. Itulah kunci kemenangan sebenar mereka,” ujar beliau.
Kejayaan manis hadir bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan apabila pasangan ini menewaskan gandingan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin. Kemenangan straight set 21-15, 21-14 dalam masa 40 minit di Adidas Arena membuktikan dominasi mereka.
Dengan laungan “Merdeka!” bergema, Ee Wei mempamerkan ketangkasan di jaring, manakala Tang Jie mengawal gelanggang belakang dengan cemerlang. Momen itu menjadikan mereka beregu campuran pertama Malaysia bergelar juara dunia, sekali gus menutup segala keraguan tentang kemampuan mereka selepas episod getir sebelum ini.
Kemenangan ini bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di persada dunia, malah menjadi simbol kekuatan mental dan kesabaran dalam membina kejayaan.