Harapan Malaysia dalam acara beregu lelaki di Kejohanan Badminton Dunia 2025 berakhir dengan penuh kekecewaan apabila dua pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun, terkandas di peringkat suku akhir. Kekalahan ini menutup peluang Malaysia untuk meneruskan rentetan podium dalam kategori tersebut.
Di Arena Adidas, Paris, pasangan utama negara dan ranking nombor dua dunia, Aaron-Wooi Yik, tewas mengejut kepada gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty. Perlawanan berlangsung awal pagi tadi menyaksikan beregu negara kecundang 12-21, 19-21, sekali gus gagal mara ke separuh akhir. Ia bermakna Malaysia tidak dapat mengulangi pencapaian podium yang pernah mereka kecapi pada edisi 2022 dan 2023.
Kekalahan ini dianggap tamparan hebat kerana Aaron-Wooi Yik sebenarnya memiliki rekod pertemuan yang cemerlang menentang pasangan ranking ke-11 dunia itu. Mereka pernah menewaskan Satwik-Chirag sebanyak 11 kali dalam 14 pertemuan terdahulu. Malah, tahun ini sahaja mereka sudah dua kali menang menentang pasangan India itu, masing-masing di Terbuka Singapura dan Terbuka China. Namun, di pentas dunia kali ini, nasib tidak menyebelahi mereka.
Sekiranya menang, Aaron-Wooi Yik bakal mencatat sejarah sebagai beregu lelaki pertama Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat dalam tiga edisi Kejohanan Dunia berturut-turut, selepas mencatat kejayaan gemilang di Tokyo 2022 dengan meraih emas dan mengutip gangsa di Copenhagen 2023. Namun impian itu terhenti di tangan pasangan India yang kini dibimbing jurulatih berpengalaman dari Malaysia, Tan Kim Her.
Sementara itu, pasangan muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, turut tidak bernasib baik apabila disingkirkan oleh gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae. Pertarungan tiga set penuh mendebarkan berlangsung sengit dengan keputusan 21-23, 23-21, 15-21 yang memihak kepada pasangan Korea.
Aksi mereka sarat dengan semangat juang apabila pada set pertama, Wei Chong-Kai Wun bangkit daripada ketinggalan 13-18 untuk meraih peluang mata penamat pada kedudukan 20-19 dan 21-20. Namun, pengalaman pasangan Korea nyata mengatasi keghairahan anak muda negara, lalu menutup set pertama 23-21.
Tidak patah semangat, pasangan Malaysia kembali bangkit pada set kedua. Mereka berjaya menyelamatkan dua mata perlawanan ketika ketinggalan 18-20, sebelum menamatkan set dengan kemenangan tipis 23-21. Kejayaan itu menghidupkan semula harapan untuk merebut tiket separuh akhir.
Namun pada set penentuan, kekuatan fizikal dan mental lawan terlalu sukar untuk ditandingi. Kim Won Ho-Seo Seung Jae memanfaatkan pengalaman mereka sebagai beregu nombor satu dunia untuk menamatkan saingan dengan kemenangan 21-15.
Dua kekalahan ini menutup terus cabaran Malaysia dalam kategori beregu lelaki. Tumpuan kini beralih kepada dua lagi wakil negara yang masih kekal dalam saingan, iaitu beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah serta gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. Kedua-dua pasangan akan turun pada aksi separuh akhir hari ini dengan harapan dapat meneruskan perjuangan dan membawa pulang pingat buat kontinjen Malaysia.