sukan

Info Siaran langsung penentuan ke final

Hanya tinggal dua wakil negara yang kini terus menggalas harapan besar dalam misi mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia BWF yang berlangsung di Perancis pada hari ini. Kedua-dua pasangan ini menjadi tumpuan peminat sukan tanah air apabila masing-masing berada di peringkat separuh akhir dan berpeluang untuk mencipta sejarah tersendiri.

Tumpuan utama semestinya terarah kepada gandingan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M. Thinaah. Pasangan ini tampil sebagai pilihan kedua kejohanan, sekaligus menambahkan lagi keyakinan mereka untuk menjejakkan kaki ke pentas final. Dalam perlawanan separuh akhir, Pearly-Thinaah bakal berdepan lawan yang cukup dikenali iaitu pasangan pilihan dari Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida.

Apa yang memberi kelebihan kepada beregu negara adalah rekod pertemuan terdahulu yang berpihak kepada mereka. Kejayaan mengatasi lawan Jepun dalam pertemuan sebelum ini membuktikan pasangan negara mempunyai keupayaan untuk sekali lagi mengulangi pencapaian sama. Walau bagaimanapun, cabaran kali ini tetap menuntut fokus tinggi kerana lawan dari Jepun terkenal dengan corak permainan konsisten dan daya juang yang tidak mudah goyah.

Dalam masa yang sama, harapan kedua negara turut digalas oleh pasangan campuran yang digelar The Little Gangsters, iaitu Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei. Beregu ini akan turun menentang wakil tuan rumah dalam aksi yang dijangka sengit. Walaupun berdepan tekanan bermain di hadapan penyokong lawan, Chen-Toh mempunyai kelebihan dari segi pengalaman yang boleh dimanfaatkan untuk melangkah ke final buat pertama kali.

Peluang yang dimiliki mereka tidak harus disia-siakan kerana kejayaan melakar sejarah di kejohanan dunia mampu membuka lembaran baharu buat karier masing-masing. Bagi peminat sukan tanah air, harapan diletakkan agar kedua-dua pasangan ini dapat menampilkan aksi terbaik serta mengekalkan momentum prestasi.

 

SIARAN LANGSUNG (LIVE STREAMING) SEPARUH AKHIR KEJOHANAN DUNIA BWF 2025
Tarikh: 30 Ogos 2025
Saluran: Astro Arena 2, Astro Badminton (802,815)

Venue: Adidas Arena, Paris Masa: Jangkaan bermula 5 petang ini

Anda juga boleh strim menerusi Astro Go atau Sooka dan maklumat terkini di Stadium Astro!