sukan

Gol Arsenal patut dibatalkan – Amorim

Ruben Amorim tampil mempertahankan penjaga gol Manchester United, Altay Bayindir, selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Arsenal dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford lewat malam tadi. Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Riccardo Calafiori, namun Amorim menegaskan jaringan tersebut wajar dibatalkan kerana berlaku pelanggaran ke atas penjaga golnya.

Dalam perlawanan berintensiti tinggi itu, Amorim mengambil keputusan mengejut dengan menurunkan Bayindir berbanding Andre Onana. Namun, pilihan itu dipersoalkan apabila Bayindir dikritik kerana gagal menghalang tandukan mudah Calafiori setelah diasak William Saliba. Kesilapan tersebut menambah deretan masalah Manchester United di posisi penjaga gol sejak beberapa musim lalu.

Onana sendiri sebelum ini turut melakukan beberapa kesilapan besar yang membawa kepada desakan agar United mencari penjaga gol utama baharu pada jendela perpindahan musim panas. Justeru, kegagalan Bayindir dalam perlawanan sulung musim ini menimbulkan tanda tanya besar tentang keyakinan Amorim terhadap benteng terakhir skuad The Red Devils.

Selepas tamat perlawanan, Amorim menerima banyak soalan daripada wartawan. Beliau mempertahankan Bayindir dan secara terbuka menyatakan gol Arsenal itu tidak sepatutnya dikira. Beliau turut membidas keputusan pengadil yang tidak menggunakan VAR dengan lebih teliti.

Amorim juga diajukan persoalan sama ada beliau berfikir untuk menggantikan Bayindir dengan penjaga gol ketiga, Tom Heaton. Namun, jawapan pengendali berusia 39 tahun itu penuh dengan nada sinis: “Kenapa? Tetapi Altay bolos gol sebegini, di mana?” Seorang wartawan pantas menjawab: “Spurs.” Amorim membalas dengan berkata: “Tanpa VAR. Dengan VAR, itu adalah kesalahan.”

Jurulatih dari Portugal itu seterusnya menjelaskan bahawa dalam perlawanan menentang Arsenal, Bayindir sebenarnya bermain dengan baik secara keseluruhan. Menurutnya, beliau menilai semua aspek sebelum memilih penjaga gol yang akan diturunkan.

Beliau menjelaskan lagi situasi gol tersebut: “Apabila anda menyentuh penjaga gol dengan cara begitu, dia perlu menggunakan tangannya untuk menangkap bola, bukan menolak pemain. Jika dia memilih untuk menolak, bola akan terlepas. Kalau itu dibenarkan, kami juga boleh lakukan hal sama. Bayindir cuba dapatkan bola, dan itu membuatkannya tidak dapat mempertahankan diri sepenuhnya.”

Amorim turut ditanya tentang ketiadaan Onana dalam senarai pemain pada perlawanan tersebut. Beliau menafikan spekulasi yang mendakwa Onana digugurkan. Katanya: “Saya tidak menggugurkan Onana daripada skuad. Isunya bukan tentang mahu terus menurunkannya selepas hanya seminggu berlatih tanpa aksi perlawanan. Saya perlukan masa untuk menilai, dan saya gembira dengan tiga penjaga gol yang kami miliki.”

Kenyataan itu jelas menunjukkan Amorim enggan membuat keputusan terburu-buru dalam isu penjaga gol. Walaupun menerima tekanan daripada penyokong, beliau tetap mempertahankan Bayindir dan memberi keyakinan bahawa persaingan sihat antara tiga penjaga gol United akan memberi manfaat sepanjang musim.

Dengan kekalahan kepada Arsenal, Manchester United berdepan cabaran getir untuk kembali bangkit dalam perlawanan seterusnya. Namun, yang pasti, isu penjaga gol terus menjadi perdebatan hangat dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak Inggeris.