TERKINI : JDT ‘mengganas’ ratah lawan di Piala FA

Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan status mereka sebagai juara bertahan Piala FA apabila menundukkan UM Damansara United (UMD United) 5-0 dalam aksi pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim. Walaupun keputusan kelihatan selesa, laluan ke kemenangan tidak datang dengan mudah, khususnya pada separuh masa pertama yang menyaksikan skuad bimbingan Xisco Munoz agak bergelut mencari rentak.

Seawal wisel permulaan, JDT mendominasi permainan. Peluang awal hadir pada minit ke-12 apabila Romel Morales mengatur serangan yang disambut Moussa Sidibe dengan rembatan deras. Namun, sepakan itu berjaya ditepis penjaga gol UMD United, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi, sekali gus menafikan jaringan awal buat tuan rumah. Ketika itu, UMD United beraksi dengan penuh disiplin, memadatkan pertahanan dan menyukarkan setiap gerakan JDT.

Permainan JDT dilihat longlai selepas percubaan tersebut. Bergson da Silva, yang biasanya menjadi tumpuan serangan, gagal mempamerkan sentuhan berbisa sepanjang 25 minit pertama. Malah, corak bertahan total oleh UMD United membuatkan JDT sukar mencari ruang untuk melakukan penyudah.

Namun, segalanya berubah pada minit ke-37 apabila UMD United dipaksa bermain dengan 10 orang. Kapten mereka, Hariz Mansor, dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning kerana mengasari Teto Martin. Insiden ini memberi sedikit kelegaan buat JDT yang semakin terdesak memburu gol.

Akhirnya, gol pembukaan hadir pada minit ke-44 hasil situasi kelam-kabut dalam kotak penalti. Sepakan percuma Nazmi Faiz Mansor disambut Antonio Glauder dengan tandukan sipi, lalu bola sampai kepada Corbin Ong. Walaupun gagal menyudahkannya, bola terkena pertahanan Shahrul Saad sebelum menerjah gawang sendiri, menjadikan kedudukan 1-0 memihak JDT sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, momentum berpihak sepenuhnya kepada tuan rumah. Pada minit ke-54, Silva menebus kegagalan awal dengan gol kedua melalui tandukan hasil hantaran lintang Enzo Lambordo. Gol tersebut menaikkan semangat Harimau Selatan untuk menambah jaringan.

Kemasukan Nacho Mendez juga membawa impak besar apabila beliau melorongkan bola kepada Teto Martin pada minit ke-78. Martin tidak melepaskan peluang dengan rembatan deras ke penjuru kanan gawang, mengukuhkan kedudukan 3-0. UMD United yang sudah kekurangan seorang pemain semakin sukar mengekang asakan bertali arus JDT.

Pada penghujung permainan, pengadil Razlan Joffri Ali menggunakan khidmat VAR untuk menilai insiden melibatkan Izaaq Izhan yang mengasari Antonio Glauder. Keputusan memberikan sepakan penalti kepada JDT, dan Figueiredo dengan tenang menyempurnakannya untuk gol keempat pada minit ke-89.

Belum sempat UMD United bangkit, pemain import muda JDT, Celso Bermejo, menambah derita lawan apabila mencetak gol debut pada minit ke-90+1 selepas menerima hantaran kemas Mendez. Gol itu melengkapkan kemenangan bergaya 5-0 buat JDT.

Dengan keputusan ini, JDT meletakkan sebelah kaki ke peringkat suku akhir, memperlihatkan keunggulan mereka walaupun memerlukan kesabaran untuk menembusi benteng lawan. UMD United pula terpaksa akur bahawa usaha mereka tidak cukup untuk mengatasi pasukan gergasi tanah air.