Ketua jurulatih JDT beri amaran keras

Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa mengharungi detik sukar pada aksi Liga Super minggu kedua apabila hampir dikejutkan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. Pengendali pasukan, Xisco Munoz, mengakui kesilapan di peringkat awal permainan menjadi punca pasukannya dibolosi dua kali dalam tempoh 20 minit pertama.

Situasi itu sedikit mengejutkan memandangkan Harimau Selatan baru sahaja meraih kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Selangor pada perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebelum ini. Namun, keghairahan untuk mengekalkan momentum kemenangan terencat apabila skuad bimbingan K. Devan tampil dengan permainan berdisiplin dan tersusun.

Negeri Sembilan berjaya memanfaatkan kelemahan di bahagian pertahanan JDT pada awal perlawanan, menghasilkan dua jaringan pantas yang membuatkan penyokong tuan rumah terdiam seketika. Keadaan itu memaksa Xisco melakukan pertukaran taktikal segera dengan membawa masuk Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (Liga-M), Arif Aiman Hanapi, serta Afiq Fazail lebih awal daripada kebiasaan.

Kemasukan dua pemain tersebut memberi nafas baharu kepada jentera serangan Harimau Selatan. Gerakan lebih teratur dan penguasaan bola yang lebih baik membolehkan JDT bangkit menyamakan kedudukan 2-2 sebelum rehat. Antara watak penting kebangkitan itu ialah Irazabal yang menjaringkan gol ketiga pada minit ke-57, sekaligus meletakkan pasukan di depan buat kali pertama.

Hanya seminit kemudian, Arif Aiman menambah jaringan keempat yang memacu semangat pasukan. Walaupun Negeri Sembilan cuba memberikan tentangan, JDT terus mengukuhkan kedudukan dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 5-3. Kejayaan ini bukan sahaja memastikan tiga mata berharga, malah menjadi pengajaran penting buat anak buah Xisco.

Selepas perlawanan, pengendali kelahiran Sepanyol itu menjelaskan, “Ia adalah saat yang berbeza buat kami ketika 20 minit pertama permainan. Seharusnya kami perlu hadir dengan tahap yang sepatutnya kami lakukan sebelum ini. Ini adalah suatu perkara yang sangat penting. Kami perlu meneruskan apa yang kami buat. Kami perlu memahami cara untuk memulakan aksi. Semalam merupakan kesilapan tentang bagaimana kami bermula, tetapi kami harus belajar supaya ia tidak berulang kembali.”

Dengan kemenangan ini, JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini. Namun, Xisco menegaskan, cabaran sebenar adalah memastikan kesilapan yang berlaku tidak mengganggu prestasi pasukan pada perlawanan-perlawanan seterusnya.