Konflik mengenai larangan penonton pasukan lawan menghadiri perlawanan di stadium dalam saingan Liga Super Indonesia musim 2025/26 terus menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak negara itu. Isu ini semakin memuncak apabila penyokong mendesak pihak Liga Indonesia Baru (LIB) mendedahkan butiran rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan sekatan tersebut.
Sejak mula dilaksanakan, larangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong, khususnya kerana pihak pengurusan LIB dilihat enggan menjelaskan secara terperinci punca keputusan berkenaan. Ramai peminat mempersoalkan mengapa maklumat rasmi daripada FIFA tidak diumumkan, sehingga menimbulkan keraguan terhadap ketelusan pihak berkuasa liga.
Pengarah Utama LIB, Ferry Paulus, sebelum ini memaklumkan bahawa FIFA masih belum memberi kelonggaran berhubung larangan tersebut. Beliau menegaskan sekatan itu diteruskan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berulang, selain memastikan keharmonian perlawanan dan keselamatan pemain serta penyokong terjamin sama ada di dalam mahupun di luar stadium.
Menjawab desakan kumpulan penyokong, khususnya daripada Persib Bandung yang dikenali sebagai Bobotoh, Ferry menjelaskan bahawa arahan itu tidak diterima dalam bentuk surat rasmi. Namun, katanya, mesej tersebut dapat difahami secara tersirat berdasarkan situasi semasa.
“Ya, sebenarnya ia sudah jelas secara tersirat. Sewaktu tragedi di Kanjuruhan, mereka (FIFA) hadir dan membuat keputusan demi kebaikan semua,” ujar Ferry.
Tambah beliau, LIB pada asalnya telah bersedia untuk memansuhkan larangan itu dan membenarkan penyokong pasukan lawan hadir semula ke stadium menjelang musim baharu. Malah, katanya, pihaknya telah mendapat “lampu hijau” untuk membenarkan semua kelompok penyokong kembali menyaksikan perlawanan secara langsung.
Namun, rancangan tersebut terbantut selepas insiden yang berlaku pada perlawanan akhir musim 2024/25 antara Persib Bandung dan Persis Solo. Kejadian itu memberi kesan besar sehingga mendorong pihak berkuasa meneruskan arahan larangan tersebut untuk tempoh yang belum ditetapkan.
“Kami sudah mendapatkan lampu hijau untuk memberi keizinan, tetapi kejadian itu memberi impak supaya arahan larangan diteruskan sehingga diberitahu kelak,” kata Ferry.
Walaupun begitu, tekanan daripada peminat semakin kuat. Ruang komen di media sosial dipenuhi gesaan supaya LIB segera mendedahkan dokumen rasmi daripada FIFA yang menjadi asas kepada keputusan tersebut. Namun, sehingga kini, tiada pengesahan rasmi atau bukti bertulis yang dikemukakan oleh LIB kepada umum.
Situasi ini menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan bahawa keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan dalaman liga dan bukannya semata-mata arahan FIFA. Meskipun begitu, LIB masih berpegang pada pendirian bahawa langkah ini diambil demi menjaga keselamatan dan suasana harmoni bola sepak di Indonesia.
Dengan tekanan yang kian memuncak daripada penyokong, masa depan polisi larangan ini kekal menjadi tanda tanya. Sama ada ia akan diteruskan atau dimansuhkan, bergantung kepada perkembangan situasi keselamatan dan keputusan bersama antara LIB serta FIFA pada masa hadapan.