‘Cakaplah apa pun, fokus kami hanya skuad kebangsaan bukan liga’

Presiden Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir, menegaskan bahawa fokus utama badan induk tersebut adalah terhadap pembangunan pasukan kebangsaan, bukan pengurusan liga domestik.

Beliau menjelaskan bahawa urusan liga tempatan sepenuhnya menjadi tanggungjawab Liga Indonesia Baru (LIB) yang telah diberi mandat khusus untuk mengawal selia semua pertandingan melibatkan kelab di peringkat nasional.

Kenyataan tersebut bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak di Indonesia. Ramai yang mempersoalkan pendirian Erick kerana merasakan PSSI seharusnya turut memberi perhatian terhadap keadaan semasa liga tempatan yang menjadi asas kepada pembangunan pemain.

Walaupun begitu, kepimpinan Erick Thohir dalam merevolusikan skuad kebangsaan Indonesia atau lebih dikenali sebagai Sang Garuda menerima pelbagai pujian. Usaha membawa masuk pemain berstatus bintang warisan untuk memperkuat skuad negara telah dianggap langkah positif yang membuahkan hasil.

Namun, segelintir peminat menggesa agar Erick turut ‘turun padang’ memantau keadaan liga tempatan. Mereka berpandangan, tanpa sistem liga yang kompetitif dan teratur, sukar bagi Indonesia melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi.

Erick dalam kenyataannya menekankan bahawa beliau mahu mengangkat martabat pasukan kebangsaan Indonesia sehingga setaraf dengan pasukan ternama dunia. Katanya, ada liga di dunia ini yang nilainya lebih tinggi berbanding skuad kebangsaan, namun beliau memilih untuk menempatkan fokus dan standard tertinggi pada pasukan kebangsaan.

“Ada liga yang nilainya lebih tinggi berbanding pasukan kebangsaan itu sendiri. Tetapi saya mahu pasukan kebangsaan Indonesia berada di tahap lebih tinggi supaya kita tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang impak negatif daripada pendirian tersebut tidak akan mengubah fokusnya. Visi jangka panjang beliau adalah membangunkan sebuah ‘empayar’ pasukan kebangsaan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Menjawab persoalan yang mengatakan PSSI mengabaikan liga domestik, Erick berkata: “PSSI tidak cakna dengan liga? Ya, biarkan sahaja. Kerana saya lihat di seluruh dunia, setiap persatuan hanya menjaga pasukan kebangsaan.”

Dengan kenyataan itu, jelas bahawa PSSI di bawah pimpinan Erick Thohir memilih untuk mengutamakan prestasi pasukan kebangsaan sebagai lambang kekuatan bola sepak Indonesia di peringkat global. Namun, perdebatan dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak dijangka akan terus hangat, terutama dalam isu keseimbangan antara pembangunan liga domestik dan kejayaan pasukan kebangsaan.