Rekod 30 Tahun akhirnya pecah

Kuala Lumpur City FC (KL City) memulakan kempen Liga Super musim 2025/2026 dengan langkah bergaya apabila mencatat kemenangan bersih 3-0 menewaskan Imigresen FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, sekali gus menamatkan penantian 30 tahun untuk meraih kemenangan tanpa bolos pada aksi pembukaan.

Jurulatih KL City, Risto Vidakovic, menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang sangat bermakna bagi pasukannya. Beliau yang berasal dari Bosnia Herzegovina berkata kemenangan di gelanggang lawan itu memberikan motivasi besar untuk skuad Warga Kota meneruskan saingan musim ini dengan keyakinan tinggi.

“Saya sangat gembira dengan keputusan ini. Ia bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi selepas hanya sebulan menjalani tempoh pramusim. Kami menggabungkan semua pemain dalam tempoh yang singkat, jadi untuk mendapatkan kemenangan seperti ini amat istimewa,” katanya selepas perlawanan.

Rekod buruk KL City yang sering tewas pada aksi pembukaan sejak tiga dekad lalu akhirnya dipadam. Kali ini, pasukan berjaya mempamerkan aksi konsisten dari wisel pertama hingga ke minit terakhir, sekali gus memecahkan tradisi yang membelenggu mereka.

“Saya fikir KL City tidak pernah menang perlawanan pembukaan dalam tempoh 30 tahun. Kami selalu kalah pada perlawanan pertama, jadi kemenangan ini amat penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan, terutama apabila ramai pemain baharu menyertai skuad kali ini,” tambah Vidakovic.

Walaupun kemenangan besar itu memberikan permulaan positif, Vidakovic menegaskan skuad bimbingannya masih dalam proses membina keserasian. Gabungan pemain lama dan muka baharu memerlukan masa untuk benar-benar serasi di atas padang.

“Bukan mudah membentuk sebuah pasukan dari awal dengan ramai pemain baharu. Hanya beberapa orang sahaja pernah bermain bersama musim lalu. Kami membawa masuk ramai pemain dan hanya dapat menghimpunkan mereka selepas dua minggu berlatih. Namun saya berpuas hati kerana semua bekerja keras dan saya percaya pasukan ini akan bertambah baik dari hari ke hari,” jelasnya.

Bagi pertembungan seterusnya menentang Sabah FC di laman sendiri pada Rabu ini, Vidakovic belum menetapkan sebarang perancangan taktikal. Fokus beliau kini adalah memastikan para pemain mendapat rehat dan pemulihan secukupnya.

“Saya belum ada perancangan. Saya rasa kita perlu pulang dengan selamat dahulu, berehat, dan selepas itu barulah kita fikirkan persediaan untuk perlawanan akan datang,” katanya mengakhiri perbualan.

Kemenangan bergaya ini bukan sahaja mencatat sejarah baharu buat KL City, malah memberi mesej jelas bahawa mereka bersedia untuk menjadi pencabar serius dalam Liga Super musim ini.