Bekas penyerang prolifik Kelantan, Mohamad Ghaddar, sekali lagi mencuri perhatian apabila memuat naik hantaran di media sosial yang dilihat seolah-olah menyindir prestasi barisan pertahanan Kelantan The Real Warriors (TRW). Sindiran itu dibuat selepas pasukan berkenaan mengalami kekalahan besar 0-4 kepada Kuching City dalam aksi pembukaan Liga Super musim 2025/26 di gelanggang sendiri, malam tadi.
Melalui Instagram peribadinya, Ghaddar memuat naik satu video yang memaparkan detik pasukan TRW dibolosi dengan mudah oleh pihak lawan. Video tersebut disertakan kapsyen ringkas namun penuh makna: “Pertahanan yang sangat bagus.” Ungkapan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air, khususnya penyokong setia Kelantan, kerana ia dilihat membawa sindiran jelas terhadap kelemahan benteng pasukan.
Kritikan terbuka Ghaddar ini muncul selepas perselisihan faham antara beliau dan pihak pengurusan TRW baru-baru ini. Sebelum ini, bekas penyerang Lebanon itu mendakwa dirinya telah ditipu berkaitan urusan pengambilan pemain import baharu yang dibawanya, Moaiad Alkhouli. Ghaddar menyifatkan pihak pengurusan TRW tidak berlaku jujur dan membuat janji palsu berhubung kemasukan pemain tersebut.
Bagaimanapun, Presiden TRW, Tan Sri Annuar Musa, tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut. Beliau menegaskan bahawa kelab mempunyai prosedur ketat sebelum menerima mana-mana pemain, termasuklah memastikan ejen yang menawarkan pemain adalah ejen sah yang memiliki sijil pengiktirafan daripada FIFA. Selain itu, pemain yang ingin diserap ke dalam pasukan perlu lulus pemeriksaan perubatan dan kecergasan, serta beberapa syarat lain yang telah ditetapkan.
“Kita kena semak, adakah dia ejen sah dan mempunyai sijil daripada FIFA, selain pemain berkenaan perlu lulus pemeriksaan perubatan dan kecergasan, serta beberapa perkara lain yang perlu diambil kira. Kita faham dia nak jadi ejen dan mahu tawarkan pemain, maka kita kena ikut peraturan seperti biasa,” jelas Tan Sri Annuar.
Untuk rekod, Mohamad Ghaddar pernah mencipta nama bersama Kelantan pada musim Liga Super 2017, apabila muncul penjaring terbanyak liga. Namun, perjalanan kariernya bersama pasukan itu terhenti apabila beliau mengalami kecederaan serius pada ligamen lutut anterior cruciate ligament (ACL) pada tahun yang sama. Kecederaan tersebut memaksa beliau dan pihak pengurusan menamatkan kontrak secara persetujuan bersama.
Reaksi terbaru Ghaddar ini mencetuskan pelbagai tanggapan. Ada yang berpendapat bekas penyerang itu sekadar meluahkan pandangan peribadi berikutan rasa kecewa dengan prestasi semasa pasukan, manakala sebahagian penyokong melihatnya sebagai sindiran pedas yang mungkin mencalarkan imej TRW. Apa pun, isu ini sekali lagi menambah warna kepada perjalanan awal Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini.