Aksi JDT dan Selangor cetus Kontroversi

Sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/26 telah berlangsung, dan perlawanan pembuka tirai menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen dengan kemenangan bergaya. Di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Jumaat lalu, pasukan Harimau Selatan menewaskan Selangor FC dengan keputusan 3-0. Keputusan ini sekali gus memastikan satu trofi awal musim berada dalam koleksi mereka.

Bagi JDT, pencapaian ini seolah menjadi rutin tahunan. Musim lalu, mereka berjaya merangkul kesemua empat piala yang dipertandingkan. Musim ini, tiga lagi trofi menanti untuk diburu, dan tidak ramai yang sanggup mempertikaikan kemampuan mereka untuk mengulanginya.

JDT digelar ‘dream team’ kerana memiliki segala yang diperlukan sebuah kelab bola sepak moden – barisan pemain berkualiti tinggi, kemudahan latihan bertaraf dunia, pengurusan profesional, dan penyokongan padu daripada penyokong. Nama mereka bukan sahaja gah di peringkat domestik, malah diiktiraf sebagai kelab berkelas dunia dalam konteks bola sepak profesional.

Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, yang menonton perlawanan itu, memilih untuk tidak menilai secara mendalam kualiti permainan kedua-dua pasukan kerana musim masih di awal perjalanan. Beliau percaya prestasi akan meningkat dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya. Namun, satu perkara yang menarik perhatiannya adalah penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Menurut beliau, sepanjang perlawanan, tiada sebarang semakan VAR yang ditayangkan di kaca televisyen. Sama ada pengadil terlalu cekap sehingga tidak memerlukan bantuan VAR, atau tiada insiden besar yang memerlukan rujukan, ia tetap menimbulkan tanda tanya. Beliau menyatakan, mungkin tiada protes daripada pemain atau tiada kekasaran yang mengundang semakan semula.

Namun, katanya, apabila tiada langsung visual ulang tayang VAR yang dikongsi kepada penonton, ia satu kerugian. Kos dan logistik yang diperlukan untuk menyediakan pasukan VAR bukanlah kecil, dan peluang menonjolkan ketelusan pengadilan sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya. VAR, jelas beliau, bukan sahaja membantu pengadil di padang, tetapi juga memberi keyakinan kepada peminat bahawa keputusan dibuat secara adil dan telus.

Beliau membandingkan situasi ini dengan liga terkenal seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), di mana ulang tayang insiden atau gol dipaparkan berulang kali dari pelbagai sudut. Dalam perlawanan JDT menentang Selangor, gol pembukaan seawal minit kedua oleh JDT tidak langsung dipaparkan ulang tayangnya ketika rehat separuh masa. Malah, ia tidak menjadi topik utama perbincangan penganalisis ketika itu. Sebaliknya, hanya percubaan yang tersasar dipaparkan.

Persoalan timbul sama ada berlaku masalah teknikal atau ia disengajakan. Jawapannya hanya diketahui oleh pihak pengadilan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan produksi siaran.

Sebagai bekas pemain dan penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan meluahkan rasa kecewa. Harapannya, selepas ini VAR dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sekadar wujud tanpa fungsi yang jelas. “Ada tapi macam tiada” bukanlah cara untuk memajukan mutu pengadilan dan kualiti tontonan bola sepak tempatan.