TERKINI : Malaysia terpaksa lupakan khidmat Imanol Machuca

Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, berdepan kemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat pemain berdarah warisan terbaharu, Imanol Machuca, pada jendela perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan.

Situasi ini berpunca daripada komitmen Machuca bersama kelabnya di Argentina, Velez Sarsfield, yang akan beraksi pada final Piala Super Argentina menentang Central Cordoba pada 6 September depan. Pertembungan tarikh itu menimbulkan dilema buat pemain sayap berusia 27 tahun tersebut sama ada mahu bersama skuad kebangsaan atau kekal beraksi di pentas final domestik.

“Mengenai aksi antarabangsa bulan September, saya masih berbelah bahagi untuk meminta pelepasan kerana ia bertembung dengan aksi final Piala Super Argentina,” katanya ketika ditemu bual dalam audio siar Sabado Velez di YouTube, baru-baru ini.

Skuad kendalian jurulatih dari Australia, Peter Cklamovski, dijadualkan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada September ini. Harimau Malaya akan menentang Singapura dan Palestin dalam perlawanan yang diatur selepas Malaysia membuat keputusan menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025.

Dalam kenyataan yang sama, Machuca meluahkan keterujaan untuk terus bersama skuad kebangsaan. Dia berharap jurulatih akan memanggilnya semula selepas aksi pertamanya bersama Malaysia pada Kelayakan Piala Asia 2027, Jun lalu.

“Saya ada menghubungi jurulatih dan harap mereka akan memanggil saya lagi dalam skuad kebangsaan selepas mengharungi pengalaman yang luar biasa pada Kelayakan Piala Asia 2027,” jelasnya.

Pada perlawanan sulungnya di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Machuca menunjukkan prestasi bertenaga dan berdisiplin, walaupun tidak menjaringkan gol. Aksi tersebut tetap mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan apabila skuad Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam perlawanan penuh bergaya.

Kini, persoalan mengenai kehadiran Machuca pada aksi persahabatan bulan depan masih belum terjawab. Keputusan akhirnya bergantung kepada sama ada Velez Sarsfield bersedia melepaskan pemain itu untuk tugasan antarabangsa atau mengekalkannya bagi membantu kelab memenangi trofi Piala Super Argentina. Situasi ini akan menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air yang mahu melihat kelibatnya sekali lagi menyarung jersi kebangsaan.