Kuching City FC memulakan kempen Liga Super 2025/26 dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW) dalam aksi pembukaan di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Kejayaan itu membolehkan pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak meraih tiga mata pertama musim ini, sekali gus menduduki tangga teratas carta liga buat sementara waktu.
Seawal minit kedua, KTRW hampir membuka jaringan selepas sepakan percuma penyerang import, Ifedayo Olusegun, singgah di palang gol. Percubaan susulan menerusi tandukan Alexandre Primael Yeoule bagaimanapun melambung tinggi dan tersasar dari sasaran.
Kuching City yang tersentak dengan cubaan itu segera memperkemaskan permainan. Usaha mereka membuahkan hasil apabila Ronald Ngah Wanja berjaya menjaringkan gol pada minit kelima untuk meletakkan pasukan tuan rumah mendahului 1-0.
Pada minit ke-18, Joao Pedro menambah derita pasukan pelawat apabila memperdayakan penjaga gol Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri dengan satu sungkitan kemas, meletakkan Kuching City selesa di depan dengan kelebihan dua gol.
Kelantan TRW cuba bangkit sebelum rehat apabila Ifedayo hampir menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-42. Namun, percubaannya berjaya dipatahkan oleh Daniel Amier Norhisham yang melakukan pintasan di garisan gol, mengekalkan kedudukan 2-0 hingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Ngah Wanja sekali lagi menjadi tumpuan apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-71. Kali ini, rembatan tepatnya mengatasi penjaga gol gantian, Damyanov Damyan Valeriy, untuk menambah jaringan menjadi 3-0.
Gol terakhir perlawanan hadir di penghujung aksi apabila Ramadhan Saifullah menyempurnakan peluang bagi melengkapkan kemenangan 4-0 buat Kuching City.
Dengan kemenangan ini, Kuching City mendapat permulaan ideal dalam saingan liga musim ini. Mereka akan berehat daripada perlawanan seterusnya, manakala Kelantan TRW dijadualkan menentang pasukan pendatang baharu, Imigresen FC, di laman sendiri pada Selasa depan.