Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek mengingatkan dua beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah supaya melakukan ulang kaji yang lebih mendalam terhadap lawan yang bakal menjadi ancaman terbesar mereka menjelang Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Berdasarkan ranking semasa di tangga kedua dunia, kedua-dua pasangan negara itu akan turun selaku pilihan kedua kejohanan.
Status itu dilihat memberi laluan lebih baik dalam undian, namun Razif menegaskan ia bukan jaminan untuk melangkah ke final.
“Secara logiknya, mereka sepatutnya mara ke final. Tetapi itu bergantung kepada persiapan dari segi latihan, taktikal, mental dan fizikal,” kata Razif.
Dalam beregu lelaki, cabaran utama Aaron-Wooi Yik dijangka hadir daripada gandingan nombor satu dunia Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang dijangka menanti di final.
Razif yang juga naib juara dunia dalam beregu lelaki bersama Datuk Seri Jalani Sidek pada 1987 percaya pasangan Korea itu tetap mempunyai kelemahan tertentu yang boleh dieksploitasi jika analisis dilakukan secara terperinci.
“Setiap pasangan ada kelemahan, termasuk Korea. Pertahanan mereka ada kelemahan, jadi kena cari dan kaji maklumat itu.
“Lebih banyak maklumat, lebih tinggi keyakinan untuk menang,” ujarnya.
Selain Aaron-Wooi Yik, beregu lelaki negara turut dibarisi tiga lagi pasangan iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (pilihan ketiga), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (pilihan ketujuh) dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.
Razif menambah, peluang Malaysia kali ini unik kerana memiliki empat wakil dalam beregu lelaki, sekali gus meningkatkan potensi sekurang-kurangnya satu pasangan mara ke final.
“Peluang sebegini bukan selalu datang. Kalau satu negara ada empat pasangan, itu sudah kira terbaik. Harap mereka semua dapat kekalkan prestasi dan ambil kesempatan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Pearly-Thinaah pula dijangka berdepan halangan besar daripada gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam saingan beregu wanita.
Rekod pertemuan memihak kepada lawan dengan Pearly-Thinaah hanya menang tiga daripada 12 pertemuan menentang Sheng Shu-Tan Ning, serta sekali sahaja ke atas Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.
“Kita tidak ketinggalan dari segi kekuatan fizikal dan taktikal, tetapi mereka perlu bijak menyusun strategi untuk setiap set.
“Yang penting, cari kelemahan lawan, banyak berbincang dengan jurulatih dan tengok rakaman perlawanan. Ulang kaji itu kunci utama kalau sungguh-sungguh mahu menang,” kata Razif.
Turut menjadi sandaran dalam beregu wanita negara adalah gandingan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang akan membuat penampilan di pentas dunia kali ini.
Dalam beregu campuran, Malaysia akan diwakili Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan keempat, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (pilihan keenam) dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (pilihan ke-13).
Tiada wakil Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan dalam acara perseorangan lelaki dan wanita kerana hanya pemain dan pasangan beregu yang berada dalam kelompok 16 terbaik dunia layak menerima status pilihan bagi setiap acara.
Dalam perseorangan lelaki, Malaysia akan diwakili Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia manakala K Letshanaa dan Goh Jin Wei bagi perseorangan wanita.