Saya bernasib baik — jurulatih JDT

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, menyifatkan dirinya bertuah kerana memiliki kekuatan skuad yang seimbang menjelang aksi Perlawanan Sumbangsih menentang Selangor di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Munoz yang baru sahaja diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan juara bertahan Liga Super itu, berkata kesemua 34 pemain berada dalam keadaan bersiap sedia dan mampu diturunkan sebagai kesebelasan utama.

“Sudah tentu kami mempunyai senarai pemain utama, namun pada masa yang sama, saya memiliki 33 hingga 34 pemain yang boleh mengisi tempat tersebut. Ia satu kelebihan yang sangat besar untuk sebuah pasukan seperti kami,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

 

“Saya seorang yang bernasib baik kerana memiliki 34 pemain untuk beraksi dalam perlawanan penting seperti perlawanan esok.”

Beliau menekankan bahawa semua pemain Harimau Selatan telah menunjukkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi sejak sesi latihan bermula dan memberikan cabaran positif dalam usaha memilih barisan terbaik untuk turun ke padang esok.

“Apa yang penting adalah kekuatan keseluruhan dalam skuad ini. Setiap pemain menunjukkan komitmen dan kesediaan untuk diturunkan. Ini memberikan saya lebih banyak pilihan untuk merencana strategi menghadapi Selangor,” jelas Munoz.

Menurutnya, walaupun beliau sedar akan tekanan perlawanan pembuka tirai musim ini, dia tetap optimis dengan tahap persediaan yang telah dilakukan oleh pasukan.

“Kami perlu buat keputusan tepat dalam memilih pemain yang benar-benar bersedia. Apa yang saya lihat, semua berada dalam prestasi baik dan saya bertuah kerana memiliki ramai pemain berkualiti untuk aksi penting ini,” katanya lagi.

Perlawanan Sumbangsih yang menjadi pembuka tirai Liga Super musim ini bukan sahaja merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, malah menjadi medan pertama buat Munoz menguji sentuhan taktikalnya bersama pasukan yang sarat dengan reputasi dan kejuaraan.

Munoz turut menjelaskan bahawa suasana harmoni dan kesatuan dalam pasukan memudahkan urusannya dalam melakukan rotasi pemain atau menyesuaikan formasi berdasarkan lawan.

“Pasukan ini mempunyai semangat kekeluargaan dan profesionalisme yang tinggi. Saya percaya ini akan menjadi pemangkin kepada prestasi konsisten sepanjang musim,” katanya.

JDT dijangka mempertaruhkan sebahagian besar tonggak berpengalaman dalam aksi menentang Selangor nanti, namun kemunculan muka-muka baharu dalam skuad utama juga tidak mustahil berdasarkan kenyataan Munoz yang membuka ruang sama rata kepada semua pemain.

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung di gelanggang keramat mereka, SSI, juga memberi kelebihan psikologi kepada Harimau Selatan yang mahu meneruskan dominasi dalam kancah bola sepak tempatan.

Dengan rekod kejayaan yang kukuh dan barisan pemain bertaraf tinggi, JDT kini berada dalam posisi terbaik untuk memulakan kempen musim ini dengan kemenangan.