Surat dari FIFA cetus tanda tanya

Status sebenar mengenai sekatan perpindahan pemain terhadap Kelantan Red Warrior (KRW) FC masih belum terjawab secara tuntas biarpun FIFA telah mengeluarkan satu surat berkaitan perkara tersebut baru-baru ini.

Surat yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 5 Ogos lalu hanya menyatakan kebenaran kepada KRW FC untuk menjalani aktiviti bola sepak, namun tidak menyatakan secara spesifik sama ada pasukan itu kini bebas sepenuhnya daripada sekatan pendaftaran pemain baharu.

Perkara itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pihak berkepentingan, termasuk penyokong dan pengurusan kelab sendiri. Justeru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertindak segera dengan menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan terperinci mengenai status sekatan berkenaan.

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika dihubungi menjelaskan bahawa tindakan itu penting bagi memastikan KRW FC benar-benar boleh menyertai pertandingan secara sah dan mendaftar pemain seperti pasukan lain.

“Kalau FIFA masih kenakan sekatan perpindahan, KRW FC tidak boleh main sebab tak boleh daftar pemain. FAM sudah hantar surat kepada FIFA untuk meminta penjelasan lanjut. Walaupun surat tersebut seolah memberi harapan kepada KRW FC, namun kita perlu maklumat hitam putih mengenai status sebenar,” ujar beliau kepada BH Sukan.

Jelasnya lagi, walaupun surat bertarikh 5 Ogos itu dilihat memberi sedikit kelegaan kepada KRW FC, namun ia belum cukup meyakinkan dari sudut peraturan teknikal, terutamanya berkaitan proses pendaftaran pemain yang terikat dengan sistem FIFA.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KRW, Wan Mohd Fajarulekram Wan Mokhtar pula berpandangan bahawa pasukan itu telahpun bebas daripada sekatan berpandukan surat yang diterima daripada badan bola sepak dunia itu.

Menurut beliau, pengesahan daripada FIFA itu sudah memadai sebagai isyarat bahawa KRW FC kini boleh meneruskan kempen dalam liga dan mendaftarkan pemain baharu.

Bagaimanapun, berbeza dengan pandangan pengurusan KRW, pihak FAM tetap mengambil pendekatan berhati-hati kerana enggan mengambil risiko sekiranya tafsiran terhadap surat FIFA itu tidak tepat dan boleh mendatangkan isu pada masa akan datang.

Dalam konteks ini, perbezaan tafsiran antara kelab dan badan induk kebangsaan menjadi sebab utama FAM mengambil keputusan untuk mendapatkan penjelasan bertulis secara rasmi daripada FIFA demi mengelakkan sebarang pelanggaran peraturan.

Langkah itu juga penting untuk menjamin kesaksamaan dalam pelaksanaan undang-undang terhadap semua pasukan yang beraksi dalam liga domestik, khususnya dalam aspek pematuhan kepada arahan daripada FIFA.

KRW FC sebelum ini telah dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA ekoran beberapa isu tertunggak yang melibatkan perkara dalaman pengurusan pasukan, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung pembatalan sekatan tersebut secara menyeluruh.

Situasi ini menambahkan lagi ketidaktentuan terhadap penyertaan KRW FC dalam liga akan datang. Walaupun semangat dan persiapan pasukan dilihat masih utuh, namun kejelasan dari aspek teknikal perlu disahkan terlebih dahulu agar tidak timbul masalah kemudian hari.

Dengan kehadiran musim baharu bola sepak yang semakin hampir, FAM dijangka mempercepat proses komunikasi dengan FIFA dan memberikan maklum balas kepada semua pihak termasuk AFL, pengurusan pasukan dan juga penyokong.

Sehingga kini, semua pihak masih menunggu perkembangan lanjut daripada FAM mengenai hasil surat yang dihantar kepada FIFA dan sama ada KRW FC boleh meneruskan penyertaan mereka secara rasmi dalam liga dengan kehadiran pemain baharu yang didaftarkan kelak.