Malaysia siap sedia hadapi Iran

Skuad bola sepak wanita bawah 20 tahun (B-20) negara kini dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya menjelang perlawanan sulung menentang Iran dalam saingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2025. Aksi pembukaan Kumpulan F itu akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada malam esok.

Ketua jurulatih pasukan, Cameron Ng, menyatakan bahawa persiapan skuad tersebut telah berjalan lancar sepanjang dua minggu kebelakangan ini. Antara elemen yang ditekankan dalam sesi latihan ialah peningkatan kecergasan pemain dan pemahaman terhadap strategi taktikal yang bakal diguna pakai sepanjang kejohanan ini.

“Saya melihat persiapan kali ini sangat memuaskan. Para pemain menunjukkan komitmen penuh dalam setiap sesi latihan yang telah dijalankan. Mereka berikan 100 peratus, malah memahami pendekatan taktikal yang dirancang oleh barisan kejurulatihan,” kata Cameron semasa sidang media praperlawanan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20.

Cameron turut menekankan bahawa masalah kecergasan dan kecederaan dalam kalangan pemain berada pada tahap minimum, sekali gus memberi ruang kepada pasukan untuk menurunkan barisan terbaik dalam perlawanan pembukaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai keadaan psikologi dan mental pemain muda negara. Katanya, sedikit kegusaran dalam kalangan pemain sebelum perlawanan adalah satu petanda positif dan menunjukkan mereka benar-benar ambil berat mengenai aksi yang bakal berlangsung.

“Sebagai jurulatih pun saya turut rasa sedikit gugup. Saya percaya pemain juga turut merasai debaran itu, namun ia sesuatu yang baik. Ini menunjukkan mereka benar-benar bersedia dan teruja untuk mempamerkan prestasi terbaik di hadapan penyokong sendiri,” ujar beliau.

Kapten skuad negara, Nur Dhiyaa Addin Zahari pula berkongsi keyakinan terhadap tahap keserasian dalam kalangan pemain yang semakin meningkat. Menurut beliau, peningkatan itu bakal diterjemahkan dalam bentuk keputusan positif di atas padang.

“Kami semakin memahami antara satu sama lain dalam setiap posisi. Keserasian di atas padang semakin baik dan ini akan membantu kami dalam mengharungi perlawanan menentang Iran,” katanya.

Skuad B-20 Malaysia akan menghadapi cabaran besar dalam Kumpulan F yang turut menampilkan pasukan pilihan Jepun dan pasukan dari Oceania, Guam. Malaysia akan berdepan Iran pada malam esok, diikuti pertemuan getir dengan Jepun pada 8 Ogos (Jumaat), sebelum melengkapkan jadual kumpulan dengan perlawanan menentang Guam pada 10 Ogos (Ahad).

Sebanyak lapan pasukan juara kumpulan dan tiga naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-20 2026 yang dijadualkan berlangsung di Thailand dari 1 hingga 18 April 2026.

Dengan motivasi tinggi dan persiapan rapi, skuad muda negara berharap dapat memberikan saingan terbaik dan mencipta kejutan dalam kejohanan kali ini, sekali gus mengintai peluang untuk ke pentas utama di Thailand tahun depan.